PETALING JAYA – Seorang bapa dianggap kejam apabila hanya memberi nafkah makan RM100 sebulan buat anaknya dengan anggaran perbelanjaan RM3.30 sehari.
Kisah keluarga tersebut dikongsikan peguam syarie, Suriati Ghani menerusi perkongsiannya di TikTok baru-baru ini.
Katanya, pasangan suami isteri berkenaan telah berpisah dan sedang dalam proses perbicaraan tuntutan nafkah buat anak mereka.
“Situasi perbicaraan kes nafkah anak di Mahkamah Syariah. RM100 untuk makan minum sebulan bersamaan RM3.30 sehari.
“Apa agakya makanan yang dapat di makan RM3.30 sehari? Sarapan nasi lemak sebungkus sekarang ada RM1.50, roti canai pun boleh dapat seeping dengan harga yang sama, selebihnya RM1.80 lagi untuk makan tengahari dengan makan malam,” kongsinya.
Tambah Suriati, dimana rasa kasih sayang seorang bapa apabila sanggup mencatu makanan buat anaknya sedangkan dirinya berbelanja RM600 sebulan hanya untuk makan dan minum.
“Isunya sekarang sanggup si ayah mencatu makanan anak RM1.80 untuk makan tengahari dengan makan malam, tapi makanan untuk diri sendiri tidak dicatu.
“Ayah senaraikan komitmen untuk makan dan minum diri sendiri RM20 sehari darab sebulan RM600. Kalau ayah bagi nafkah makan minum RM100 sebulan, cuba tanya ayah cukup tak untuk diri sendiri pun makan RM100 sebulan,” soalnya dalam hantaran tersebut.
Menurut peguam itu, ada pihak luar yang beranggapan si bapa mempunyai komitmen lain sehingga menyukarkannya memberi lebih bayaran nafkah buat anaknya.
“Ada pula yang cakap nanti, dah itu sahaja yang ayah mampu. Okey, kalau hanya mampu bagi nafkah makan minum anak RM100 sebulan, jadi komitmen untuk makan minum diri sendiri juga perlu sama RM100 juga sebulan, selebihnya boleh disalurkan kepada keperluan lain,” pesanya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai wanita berkongsi kehidupan mereka membesarkan anak-anak seorang diri tanpa bantuan bekas suami.
“Saya sendiri bekas suami culas beri nafkah dua anak kami, dah masuk dua tahun saya tanggung sendiri perbelanjaan besarkan anak-anak,” kongsi Fazura.
“Anak saya pun cuma diberi RM100 sebulan untuk beli barang keperluan dan makan minum anak. Jadilah dari tak dapat langsung dan selebihnya saya usaha sendiri,” luah Anne.
“Kami ditinggalkan adik-beradik pada ibu yang tak bekerja. Sedangkan abah kami kaya. Kami adik-beradik dengan ibu hidup miskin dan sekarang dengan usaha kami, akhirnya dapat hidup lagi kaya dari abah. Ingat abah, Allah Maha Adil,” kongsi pengguna TikTok @Ducati795. – KOSMO! ONLINE