fbpx

Video Caprice, Mondy cemar reputasi Ebit kena padam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Caprice, Ebit dan Mondy.

SHAH ALAM – Pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew telah memperoleh perintah injunksi interim (sementara) oleh Mahkamah Sesyen di sini bagi menghalang penyanyi rap, Caprice dan pempengaruh, The Mondy Tattoo daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang mencemarkan reputasi terhadap penceramah itu serta keluarga dan rakan-rakannya.

Perintah injunksi interim (sementara) yang dikeluarkan pada 5 Oktober lalu turut mengarahkan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli dan Mondy atau nama sebenarnya, Dita Restu Amanda untuk memadamkan satu rakaman antaranya di laman sosial YouTube dan video di Instagram penyanyi rap itu.

Kesemua video dan rakaman itu hendaklah dipadamkan dalam tempoh 24 jam selepas perintah injunksi sementara itu dikeluarkan.

Sebelum ini, berdasarkan dokumen yang diperoleh, Ebit menuntut suatu perintah injunksi mengarahkan defendan pertama dan defendan kedua atau wakil-wakil daripada kedua-dua defendan itu untuk mengeluarkan atau memadamkan video dan posting dan pernyataan fitnah secara tulisan.

Terdahulu pada 22 September lalu, Ebit telah memfailkan saman fitnah terhadap Caprice dan Mondy menerusi Tetuan Akberdin & Co.

Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, Ebit selaku plaintif memberitahu beliau mula mengenali Mondy ketika menjalankan aktiviti kemanusiaan di Jakarta, Indonesia pada 7 Jun lalu.

Pada ketika itu, defendan kedua terbabit memperkenalkan dirinya sebagai ibu tunggal dan gelandangan kepada pendakwah itu. Kemudian pada 12 Jun lalu, Mondy telah datang ke Malaysia bagi mempelajari dan mendalami agama Islam di Ma’ahad Ad-Dirasaatil Islamiyyah, Sri Petaling di sini.

Bagaimanapun, Ebit difahamkan bahawa Mondy telah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pembelajarannya dan telah pulang ke Indonesia pada Julai lalu.

Pada 15 September lalu, Caprice telah memuat naik rakaman siniar (podcast) yang mana Mondy merupakan tetamu jemputan rakaman itu.

Rakaman itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif telah melakukan gangguan seksual terhadap Mondy, mengambil kesempatan terhadap wanita itu dan merupakan seorang individu yang tidak bertanggungjawab serta penunggang agama.

Plaintif mendakwa defendan pertama telah secara jahat menerbitkan video-video tersebut tanpa membuat sebarang pengesahan fakta daripada plaintif mahupun peguamnya.

Akibat penerbitan video-video tersebut, terlalu banyak komen-komen negatif, cacian dan makin telah dikeluarkan oleh pengikut akaun YouTube Caprice.

Plaintif turut mendakwa kenyataan-kenyataan berbaur fitnah yang dikeluarkan oleh Caprice dan Mondy telah menyebabkan Ebit dikecam, diejek dan diaibkan.

Oleh itu, selain perintah injunksi kekal terhadap kedua-dua defendan, Ebit turut memohon Caprice dan Mondy membuat permohonan maaf yang akan disiarkan di semua laman sosial dalam tempoh 48 jam selepas kedua-dua individu itu diserahkan dengan perintah termeterai.

Plaintif turut memohon ganti rugi am, teladan, pampasan dan teruk yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah. Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI