fbpx

Elly Mazlein ‘letak jawatan’ sebagai hos GV10

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengacara Elly Mazlein memutuskan untuk tidak lagi mengacarakan program All Star Gegar Vaganza (GV10) atas sebab-sebab peribadi.

PETALING JAYA – Bukan gimik, pengacara sensasi Elly Mazlein mengejutkan peminatnya apabila mengundurkan diri sebagai pengacara tetap program All Stars Gegar Vaganza (GV10).

Pengumuman secara tiba-tiba itu dikeluarkan sendiri oleh pihak penyiar stesen televisyen Astro dalam satu kenyataan hari ini apabila memberitahu Elly tidak lagi bersama keluarga besar GV10 disebabkan hal peribadi.

“Dengan rasa berat hati Astro ingin mengumumkan pengunduran Kak Lina (Elly Mazlein) dari program GV10 atas hal-hal peribadi. Walaupun berasa sedih, pihak Astro menghormati keputusan yang diambil.

“Pihak Astro ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kak Lina atas kesungguhan dan komitmen yang diberikan sepanjang siaran All Stars Gegar Vaganza.

“Pastinya para peminat Kak Lina masih berkesempatan untuk menonton personaliti yang disayangi ramai menerusi program-program Astro yang akan datang,” kata Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad.

Dalam kenyataan sama, Elly atau mesra disapa Kak Lina Pom Pom turut mengemukakan permohonan maaf kerana tidak dapat meneruskan tugasnya mengacara GV10 di samping Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong saya sepanjang siaran All Stars Gegar Vaganza. Sesungguhnya saya amat menghargainya.

“Insya-Allah, kita doakan GV10 terus berjaya dan saya berharap agar peminat-peminat kekal menyokong semua bintang Gegar Vaganza yang bertanding,” kata Kak Lina.

Sementara itu, hasil tinjauan Kosmo! Online dalam Instagram milik pengacara itu mendapati, Elly ada berkongsi hantaran pendek berupa perkataan ‘maaf’, tanpa kapsyen terperinci.

Dalam ruangan komen, rata-rata pengikutnya berasa sedih, malah tidak mahu Elly meninggalkan pentas GV10 sebagai pengacara kerana dianggap sangat menghiburkan.

“Kak Kepom (panggilan Kak Lina Pom Pom), saya tengok GV sebab akak tau!” ujar seorang peminatnya.

“Tolonglah kekal. Nanti ibu saya susah hati. Saya suka tengok ibu saya gembira bila tonton Kak Lina dalam GV,” luah seorang lagi peminatnya.

“Maaf kalau Kak Kepom tak ada, saya tak mahu tengok GV!” ugut seorang netizen.

Sebelum ini, Elly atau nama lengkapnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 42, dikecam kerana gaya pengacaraannya dikatakan ‘hyper’, ‘over’ (melebih-lebih) dan gedik.

Selain itu, dia juga dikatakan seperti mencuri terlalu banyak perhatian ramai sehingga menenggelamkan barisan peserta yang bertanding.

Rentetan daripada itu, dia membuat permohonan maaf dan berjanji akan menjadi Elly Mazlein pada konsert minggu kedua lalu.

ketika konsert minggu kedua, Elly tampil dengan karakter berbeza yang lebih sopan tanpa ‘tergedik-gedik’ seperti kelazimannya dengan menggunakan nama Elly M, sebelum kembali dengan sifat asalnya ketika konsert hampir ke penghujung rancangan.

Ibu kepada dua orang cahaya mata itu mengakui penat untuk membawakan karakter sebagai Kak Lina Pom Pom namun sifat asalnya jauh berbeza daripada apa yang berlaku di sebalik tabir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI