PETALING JAYA – Pengusaha kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan pada 2018 berharap kem PLKN yang masih wujud digunakan semula untuk PLKN 3.0.
Mantan Presiden Persatuan Pengusaha Kem Khidmat Negara (PPKN), Datuk Seri Ahmad Kamil Ibrahim berkata, terdapat kira-kira 20 hingga 25 kem PLKN yang masih wujud di seluruh negara ketika ini.
“Dulu ada dalam 75 kem PLKN dan yang masih bertahan sebab mampu buat program kecil-kecilan seperti kursus dan sebagainya.
“Pandangan saya bolehlah buat (PLKN 3.0) separuh di kem tentera dan separuh di kem PLKN yang masih ada. Kem-kem PLKN ini dulu memang dibina untuk program PLKN,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kelmarin, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dipetik berkata, antara perbezaan PLKN 3.0 tersebut adalah peserta PLKN akan menjalani latihan di 13 kem tentera wataniah untuk latihan 45 hari.
Menurut beliau, dengan 13 kem yang tersedia itu, ia mampu menampung kapasiti pelatih sehingga 4,000 orang pada satu sesi.
Dalam pada itu, Ahmad Kamil yang menyokong pelaksanaan semula PLKN berkata, program tersebut amat bermanfaat kepada negara dan PLKN 3.0 bukan lagi bersifat ‘summer camp’.
“PLKN 3.0 telah kembali kepada asal semasa mula-mula diperkenalkan. Harap PLKN 3.0 tidak lagi dipolitikkan oleh mana-mana pihak jika mahu lihat ia berjaya,” katanya. -KOSMO! ONLINE