fbpx

Lelaki mengaku cederakan isteri, baling telefon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SELAYANG – Seorang pekerja pendawaian mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mencederakan dan melakukan khianat dengan membaling telefon bimbit milik isterinya Selasa lalu.

Tertuduh M.Kaleenthiran ,34, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa tiga anak itu didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera ke atas isterinya yang berusia 33 tahun di sebuah rumah di Prima Selayang, KM 15 Jalan Rawang di sini antara pukul 9 pagi hingga 4 petang pada 17 November lalu.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya dan dia juga boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Sementara pertuduhan kedua, Kaleenthiran didakwa melakukan khianat dengan membaling telefon bimbit jenis Lenovo milik mangsa sama sehingga menyebabkan kerosakan dengan anggaran kerugian RM150.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pukul 4 petang pada tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang daripada setahun dan penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni yang mewakili pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 19 Januari 2021 untuk jatuh hukum. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI