MANCHESTER – Legenda Manchester United, Gary Neville menjangkakan pasukan itu tidak akan menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris musim ini di kedudukan lima teratas selepas aksi goyah dipamerkan pada awal musim kali ini.
The Red Devils sekadar menduduki tangga ke-10 ketika ini biarpun berjaya mempamerkan kebangkitan luar biasa ketika menewaskan Brentford pada aksi Sabtu lalu untuk mendapatkan tiga mata.
Dua gol menerusi pemain tengah, Scott McTominay pada masa kecederaan berjaya mengelakkan United daripada kekalahan berterusan di laman sendiri selepas mereka turut tewas kepada Crystal Palace dan Galatasaray di Old Trafford sebelum itu.
“Saya tidak fikir Manchester United akan menamatkan saingan dalam kelompok lima pasukan terbaik musim ini. Mereka sedang melalui jalan yang berbeza dan tidak menuju ke arah tersebut (lima pasukan terbaik).
“Ia sangat mengejutkan kerana kira-kira tujuh atau lapan minggu lalu, mereka dijangka berada dalam kedudukan tiga terbaik. Sejujurnya, saya berpendapat, masalah utama dihadapi United ketika ini adalah di bahagian penjaga gol.
“Jika anda tidak dapat selesaikan masalah di bahagian gawang dan berlaku beberapa situasi tidak stabil di kawasan tersebut menyebabkan anda pasti akan berdepan masalah besar,” katanya.
United mendapatkan khidmat Andre Onana dari Inter Milan untuk menggantikan penjaga gol utamanya, David De Gea kerana keistimewaannya menerusi hantaran dan membina gerakan dari bawah, namun kemampuannya untuk menyelamatkan beberapa percubaan dipertikai terutama ketika melepaskan gol berdepan Brentford. – AGENSI