GUA MUSANG – Penduduk Kampung Jerek di sini khuatir mengenai keselamatan mereka apabila tiga ekor beruang matahari didapati membuat sarang di atas pokok rambutan dan lubang tanah sejak dua bulan lalu.
Sribani Zakaria, 48, berkata, beruang yang bersarang di atas pokok rambutan di belakang rumahnya dipercayai kelaparan dan kerap selongkar sisa sampah dan mengambil buah-buahan.
“Beruang itu panjat pokok pada pukul 7 malam. Ia akan muncul bila suasana sepi dan saya pernah terserempak dengannya sebelum ia lari,” katanya.
Sukri Abdullah, 57, pula berkata, kejadian itu pertama kali berlaku di kampungnya sejak 25 tahun lalu.
“Saya pernah terserempak dengan beruang melebihi pinggang orang dewasa tingginya pada awal pagi. Kami bimbang mengenai jika jemaah subuh dan maghrib diserang,” katanya.
Ujar Sukri, beruang itu juga dilihat berkeliaran di kawasan Sungai Jerek.
Sabariah Mohamed Sayuti, 43, pula berkata, Perhilitan telah memasang perangkap dengan umpan susu dan madu pada minggu lalu tetapi belum dapat tangkap beruang berkenaan.
“Kami syak beruang itu berasal dari hutan simpan yang tersesat ketika mencari makanan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, mereka masih memantau keadaan di kampung itu untuk keselamatan penduduk. -KOSMO! ONLINE