PETALING JAYA – Polis Kontinjen Kuala Lumpur menyaksikan pertukaran tiga Ketua Polis Daerah (KPD) baharu berkuat kuasa semalam.
Majlis serah terima tugas yang berlangsung hari ini dan semalam itu membabitkan KPD Dang Wangi, Brickfields dan Sentul.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Zainal Abdullah dilantik sebagai KPD Dang Wangi yang baharu menggantikan ACP Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah.
“Mohamad Zainal sebelum ini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah (D5) Undang-Undang Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
“Pada masa sama, ACP Lembaga Parol (III) di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, ACP Anuar Omar dilantik sebagai KPD Brickfields yang baharu menggantikan ACP Zairul Nizam Mohd. Zainuddin @ Hilmi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu Saiful Azly memberitahu, satu lagi pertukaran menyaksikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul telah menerima lantikan KPD baharunya hari ini, iaitu ACP Beh Eng Lai, menggantikan ACP S.Shanmugamoorthy Chinniah.
Katanya, semua KPD yang baharu ini diharapkan dapat memikul amanah yang diberikan oleh pucuk pimpinan PDRM dengan cemerlang sekaligus menyumbang ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar yang selamat. -K! ONLINE