KUALA LUMPUR – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengumpulkan lebih 10,000 spesimen tisu dari seluruh negara sejak 10 tahun lalu melalui Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI).
Pengumpulan sampel dan spesimen tersebut melibatkan pelbagai kaum di negara ini sebagai penyelidikan yang akhirnya mengenal pasti gen dan penyakit tertentu sekali gus membantu perawatan pesakit.
Pengarah HCTM, Prof. Datuk Dr. Razman Jarmin berkata, UMBI UKM menyimpan sampel melalui dua bank iaitu sampel darah melibatkan pesakit biasa serta sampel tisu membabitkan pesakit yang menjalani pembedahan.
“Kita bergerak seluruh negara bagi menjalankan pensampelan ini. Hasil penyelidikan ini, kita boleh mengenal pasti gen serta penyakit tertentu rakyat Malaysia.
“Sebagai contoh kanser pankreas yang mana kita mengenal pasti karakter, seterusnya boleh beri nasihat kepada pesakit berhubung ubat mana sesuai atau sensitif dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar selepas Hari Bersama Media HCTM di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Dr. Razman kata, penyimpanan sampel melalui bank biologi juga penting terutama membantu dalam menyelesaikan kes berkaitan jenayah.
“Bank biologi setakat ini simpanan untuk penyelidikan. Untuk simpan sampel ini (bagi kes jenayah) adalah secara legislatif dan bukannya secara sukarela. Jadi setakat ini ia tidak wajib, mungkin sesetengah negara ada mewajibkan.
“Jadi bank biologi di Malaysia ini tidak menyimpan sampel warga asing. Kerajaan menggunakan konsep biometrik untuk orang keluar masuk negara.
“Justeru, bank biologi sekarang tak lengkap macam di luar negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE