BIARPUN mengalami kesakitan pada ibu jari tangan kanan, namun ia langsung tidak menghalang Natasha Mohamed Roslan untuk bergelar juara dunia Kejohanan Tenpin Boling Dunia 2023 berlangsung di Salmiya, Kuwait awal pagi semalam.
Kejayaan atlet berusia 27 tahun itu sangat bermakna buat arena sukan tanah air kerana ia secara tidak langsung menamatkan penantian 12 tahun selepas kali terakhir wakil Malaysia menjuarainya di Hong Kong pada 2011.
Menariknya, Natasha meraih gelaran tersebut selepas menewaskan rakan senegara, Sin Li Jane 2-1 menerusi keputusan 259-194, 162-238, 185-165 pada final individu wanita di Kelab Sukan Boling Kuwait.
“Saya gementar dan pada masa sama merasai kesakitan. Namun, saya perlu lupakan rasa sakit ini kerana saya sudah berada di sini (final), jadi saya perlu berjuang dan berikan segala-galanya sehingga ke penamat.
“Saya masih lagi tidak dapat memproses perasaan ini. Ia sangat menakjubkan tetapi saya perlu kembali berikan fokus terbaik untuk membantu rakan sepasukan membawa pulang pingat dalam baki acara,” kata Natasha.
Natasha merupakan individu wanita ketiga negara berjaya menjulang gelaran itu selepas Esther Cheah mula melakukannya di Aalborg, Denmark pada 2005 sebelum Jacqueline Sijore menjuarai edisi 2011 di Hong Kong.
Ia juga kejuaraan dunia kedua buat Natasha selepas membantu berpasukan wanita bersama Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Datuk Shalin Zulkifli memenangi edisi 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Sebagai rekod, perseorangan lelaki negara, Muhammad Rafiq Ismail juga pernah dinobatkan sebagai juara dunia selepas menjuarai edisi 2018 di Hong Kong.