fbpx

Aplikasi galak aktiviti sihat selepas bekerja di ibu kota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aplikasi Grand Line of KL yang dalam proses pembangunan ini akan membolehkan warga kota mengetahui laluan-laluan untuk berjalan, berjoging atau berlari di Kuala Lumpur.

KEHIDUPAN di Kuala Lumpur tidak boleh lari daripada berdepan dengan kesesakan lalu lintas terutama semasa waktu puncak saat warga kota pergi dan balik kerja.

Hal ini menyebabkan masa kebanyakan rakyat Malaysia di ibu kota pada tempoh itu terbuang begitu sahaja dan tidak dimanfaatkan untuk melakukan aktiviti berfaedah.

Melihat kepada situasi yang berlaku, pengasas bersama aplikasi riadah, getBiiB.com, Tan She Yong, sedang merencana usaha memetakan laluan pejalan kaki dan joging di sekitar Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Grand Line of KL.

Sedang dalam pembangunan iaitu versi Beta dan bakal dimasukkan ke dalam aplikasi getBiiB, Grand Line of KL merupakan perkembangan kepada fungsi dalam aplikasi sebagai cadangan bagi meningkatkan Kebolehcapaian Bandar sempena Cabaran Bandar Kuala Lumpur Kreatif anjuran Think City.

Grand Line of KL bahkan kemudian dicadangkan untuk dibangunkan menjadi aplikasi yang tersendiri.

Menurutnya, sepanjang enam tahun lalu, dia dan pasukan telah mengumpulkan lebih 100,000 orang dan membantu lebih 900 komuniti untuk menggalakkan kesejahteraan mental dan fizikal melalui teknologi.

“Grand Line of KL merupakan aplikasi pemetaan laluan joging yang direka dengan teliti betul-betul di tengah-tengah Kuala Lumpur.

“Menerusinya, pengguna boleh melihat laluan mana yang terdekat buat mereka melakukan aktiviti itu dan pada masa sama menyertai komuniti yang turut sama mendaftar dalam aplikasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambahnya, laluan yang dipetakan dalam aplikasi akan membawa pengguna ke beberapa tempat paling terkenal di Kuala Lumpur antaranya River of Life, dengan titik permulaan dan penamat yang istimewa berhampiran Pasar Seni.

Katanya lagi, untuk sampai ke lokasi permulaan dan penamat pengguna juga boleh menggunakan pengangkutan awam, malah terdapat juga panduan di mana untuk meletakkan kereta, tempat menyimpan barang dan tandas.

Berkongsi bagaimana tercetusnya idea Grand Line of KL, She Yong memberitahu, semuanya bermula menerusi permasalahan yang diketengahkan.

Jelasnya, ramai orang yang bekerja di Kuala Lumpur akan meninggalkan kawasan itu selepas bekerja atas beberapa sebab iaitu kawasan tersebut kekurangan aktiviti waktu malam dan peluang ekonomi atau sosial, sukar bersiar-siar kerana trafik yang sesak pada waktu puncak serta isu keselamatan yang menjadi kebimbangan apabila kurang orang di jalanan pada waktu malam.

“Disebabkan faktor ini, ramai orang lebih suka pulang ke rumah atau meninggalkan kawasan pusat bandar sejurus selepas bekerja walaupun mereka terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas dan menghabiskan berjam-jam untuk berulang-alik.

“Oleh yang demikian kami tampil dengan idea Grand Line of KL bagi membuka ruang buat penduduk dan juga pelancong untuk menikmati gaya hidup aktif dan tidak perlu tergesa-gesa pulang selepas bekerja,” kongsinya.

Jelasnya, inisiatif ini menawarkan laluan yang selamat, mudah dan menyeronokkan untuk aktiviti berjoging, berjalan kaki dan berlari selepas waktu pejabat.

Gerbang permulaan dan penamat yang ditetapkan juga memberi manfaat kepada ekonomi tempatan. Hal ini khususnya buat industri makanan dan minuman, kerana ia menggalakkan makan malam selepas bersenam dan perkongsian media sosial.

Bercerita tentang pelaksanaan projek, She Yong memberitahu, pelaksanaan Grand Line of KL merangkumi beberapa fasa termasuk ujian bersama komuniti sehinggalah pelancaran awam.

Kongsinya, dengan adanya aplikasi tersebut, pihaknya juga meletakkan sasaran untuk menggalakkan aktiviti pagi sebelum bekerja, menganjurkan acara hujung minggu atau korporat, mengembangkan lagi reka bentuk laluan untuk komuniti orang kelainan upaya (OKU) dan laluan bagi pelancong.

“Dalam tiga tahun, matlamat kami adalah untuk mempunyai 20,000 orang menggunakan laluan itu setiap minggu dan mengubah 50,000 jam tidak produktif yang terperangkap dalam trafik kepada aktiviti yang produktif.

“Kita juga berharap inisiatif ini dapat membawa kepada peningkatan trafik manusia, mengakibatkan lebih banyak transaksi perniagaan terutamanya dalam sektor makanan dan minuman selepas matahari terbenam serta menghasilkan pembakaran gabungan sebanyak 8,000,000 kalori pada laluan setiap minggu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI