KOTA BHARU – Kerajaan akan memperkasakan Program Pelaksanaan Pelesenan dan Penguatkuasaan Tembakau sebelum ia dikuatkuasakan sepenuhnya menjelang tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha tersebut sedang dijalankan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).
Menurutnya, pelaksanaan program itu untuk mencegah pengedaran tembakau dan keluaran tembakau secara tidak sah.
“KPK melalui LKTN turut memperkasakan Program Pelaksanaan Pelesenan dan Penguatkuasaan Tembakau.
“Kolaborasi dan tindakan bersama agensi penguatkuasaan lain telah diadakan bagi meningkatkan keberkesanan agensi kerajaan,” katanya semasa berucap pada Sambutan Jubli Emas dan Anugerah Penanam Jaya Kebangsaan 2023, LKTN di Hotel The Grand Renai di sini sebentar tadi.
Media sebelum ini melaporkan, seluruh peniaga rokok diingatkan supaya mendapatkan lesen bagi menjual barangan tersebut sebelum pelesenan dengan fi dikuatkuasakan bermula 1 Januari tahun depan.
LTKN sudah melaksanakan pendaftaran lesen tanpa fi melibatkan pengedaran rokok atau produk keluaran tembakau di semua premis di seluruh negara bermula tahun lalu.
Penguatkuasaan itu selaras dengan Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 (Akta 692) dan Seksyen 39 (1) akta sama yang memperuntukan bahawa tiada seorang boleh dan mengedarkan atau keluarkan tembakau tanpa suatu lesen yang sah.
Dalam perkembangan sama, Fadillah yang juga Menteri Perladangan Dan Komoditi berkata, LKTN sedang meluaskan kerjasama penanaman kenaf dengan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) Sarawak di daerah Ulu Sebauh, Bintulu yang berkeluasan 2,000 hektar.
Menurutnya, kerjasama dengan agensi dan anak syarikat di bawah seliaan MFICORD itu dijalankan untuk menerokai konsep ladang kluster dan pembangunan berorientasikan swasta.
“Orientasi itu dijalankan melalui syarikat tempatan yang berminat untuk membangunkan tanaman kenaf sebagai sumber ekonomi baharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE