fbpx

RUU Kualiti Alam Sekitar Sekeliling dibentang di Dewan Rakyat tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Abdul Latiff (kanan) beramah mesra bersama pihak media pada sesi libat urus Ketua Pengarah Alam Sekitar bersama media di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekitar Sekeliling (Pindaan 2023) dijangka dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat tahun depan.

RUU tersebut yang antara lain memperuntukkan hukuman denda lebih tinggi sehingga RM10 juta selain penjara mandatori bagi kesalahan tertentu bertujuan meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, perbincangan mengenai pindaan dan menambah baik undang-undang tersebut telah dibuat bermula tahun lalu terutama dari segi hukuman kes di mahkamah.

“Apabila kes dibawa ke mahkamah, maknanya hukuman lebih tinggi dan begitu juga dengan kes yang boleh dikompaun turut dinaikkan. Contohnya kes melibatkan pencemaran teruk seperti sungai, pelupusan haram buangan toksik bahaya yang mana kita pinda sehingga RM10 juta.

“Kes menyebabkan henti tugas loji rawatan ini yang mana sekarang ini hukuman dikenakan boleh maksimum RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya. Pindaan kita syorkan ialah sehingga RM10 juta dan penjara mandatori tidak lebih lima tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sesi libat urus Ketua Pengarah Alam Sekitar bersama media di sebuah hotel di sini, hari ini.

Wan Abdul Latiff berkata, bagi kompaun kesalahan pembakaran terbuka pula, pada masa ini membabitkan jumlah RM2,000 dan bakal dinaikkan sehingga RM500,000.

“Jadi kita mahu memastikan penjenayah ini diberi hukuman setimpal. Saya ingat sudah sampai masanya kerana kalau setakat RM2,000, mereka tidak ada masalah untuk membayarnya. Denda yang tinggi akan menimbulkan kesedaran kerana kalau mereka membakar, maka akan dikenakan denda yang tinggi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga akan memohon pertambahan 3,000 kakitangan di bawah Jabatan Alam Sekitar menerusi Bajet 2024 memandangkan pegawai dan anggota sedia ada tidak mencukupi untuk melaksanakan penguatkuasaan.

“Kita mempunyai kira-kira 1,500 kakitangan dengan 1,100 pegawai dan anggota melaksanakan penguatkuasaan. Kita memerlukan ramai lagi kakitangan bagi memantau, menjalankan siasatan dan sebagainya,” katanya.

Ujarnya, pegawai dan anggota sedia ada tidak mampu untuk melaksanakan pemantauan kesemua kira-kira 60,000 kilang di seluruh negara dan hanya sekitar 20,000 kilang dapat diperiksa secara purata dalam setahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI