KUALA LUMPUR – Penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pengeluaran dana daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak-anak syarikatnya telah dipindahkan keluar melalui sistem perbankan pelbagai bidang kuasa asing antara September 2009 dan Disember 2014.
Menurut Adam. Ariff Mohd Roslan, 29, berdasarkan laporan analisis setebal 76 muka surat yang disediakannya, sebahagian daripada RM2.28 bilion yang dipindah keluar telah dibawa masuk semula ke negara ini dan berakhir di dua akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Berdasarkan dokumen perbankan dan maklumat yang diperolehi daripada pegawai penyiasat, didapati dana-dana yang dinyatakan dan diterima oleh Najib Razak melalui dua akaun peribadinya boleh dikesan daripada dana yang diperolehi oleh 1MDB dan anak-anak syarikatnya,” kata saksi pendakwaan ke-47 itu.
Terdahulu, ketika menjelaskan mengenai fasa keempat atau Fasa Opsyen Pembelian Semula (Option Buyback), Adam Arif menyatakan terdapat dua transaksi membabitkan RM49,930,985.70 berlaku di antara 23 Jun 2014 dan 19 Disember 2014.
Dana melebihi RM49 juta itu merupakan sebahagian daripada pinjaman pertama yang dikeluarkan kepada 1MDB Energy Holdings Limited (1MEHL) membeli kembali opsyen Aabar bagi pembelian dua syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP).
Ketika kali pertama memberi keterangan, saksi itu menyatakan jejak aliran wang sebanyak RM2.28 bilion daripada 1MDB dimasukkan ke dalam dua akaun peribadi Najib melalui empat fasa.
Bagi transaksi pertama yang berlaku pada 23 Jun 2014, Adam Arif memberitahu, akaun Najib yang berakhir 1880 telah menerima £750,000 (RM4,093,500) daripada DBS Bank, Singapura atas nama Blackrock Commodities (Global) Limited.
Blackrock dikatakan syarikat berkaitan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan dikawal oleh Eric Tan Kim Loong yang juga sekutu rapat Jho Low.
Tiga lagi fasa membabitkan Fasa Good Star yang berlaku di antara 23 Februari 2011 dan 14 Jun 2011 melibatkan kemasukan wang sebanyak RM60,629,839.43 ke dalam akaun Najib.
Fasa kedua ialah Fasa Aabar-BVI membabitkan dua transaksi iaitu di antara 30 Oktober 2012 dan 20 November 2012 melibatkan wang berjumlah RM90,899,927.28 dimasukkan ke dalam akaun Najib.
Fasa ketiga ialah Fasa Tanore yang mana di antara 21 Mac 2013 dan 10 April 2013 sebanyak RM2,081,476,926 telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok bagi soal balas saksi oleh pihak pembelaan. – KOSMO! ONLINE