fbpx

K2

3 minit jinakkan ikan sebarau di hulu sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARZUADI (tengah) bersama rakannya menunjukkan ikan sebarau yang berjaya dipancing mereka.

PERJALANAN hampir satu jam dari tapak perkhemahan menuju ke kawasan hulu sungai di Royal Belum di Gerik, Perak pada hari itu begitu mengujakan Marzuadi Mansor, 33.

Dia bersama tujuh rakannya yang lain harus merentas kawasan denai untuk tiba di kawasan hulu sungai bagi meneruskan tujuan mereka untuk memburu ikan jenis sebarau.

“Kawasan hulu sungai di hutan ini memang banyak dengan spesies ikan air tawar. Sebarau antara spesies ikan air tawar yang sering menjadi buruan kaki pancing yang datang ke sini.

“Tujuan utama kami datang ke sini sudah semestinya untuk mendapatkan ikan sebarau sebanyak yang boleh. Tetapi halangan utama yang kami perlu hadapi adalah merentasi denai kawasan hutan yang menjadi habitat binatang liar seperti seladang, harimau dan gajah terlebih dahulu,” jelasnya.

Marzuadi dan rakan-rakannya yang lain telah menghabiskan masa selama tiga hari dua malam di kawasan itu bagi memancing ikan sebarau.

Sepanjang berada di situ, lebih 25 ekor sebarau berjaya dipancing mereka.

Marzuadi menjelaskan, dia sendiri berjaya memancing sebanyak sembilan ekor ikan sebarau dan ia memberikan satu kepuasan tersendiri buat dirinya.

“Ikan sebarau yang paling berat yang berjaya kami bawa naik ke darat adalah seberat 4 kilogram (kg) dan ia dilakukan oleh saya sendiri.

“Bertarung dengan ikan seberat itu ternyata memberikan kepuasan tersendiri kepada saya. Saya mengambil masa lebih tiga minit untuk menjinakkannya,” jelasnya yang berasal dari Baling, Kedah.

Berat ikan sebarau yang mereka berjaya pancing adalah sekitar 1kg hingga 4kg.

Ikan sebarau atau nama saintifiknya hampala macrolepidota adalah ikan air tawar yang habitatnya banyak ditemui di sungai kawasan pergunungan dan juga tasik.

Sebarau adalah ikan spesies pemangsa dan sering menjadikan ikan yang lebih kecil sebagai makanan utamanya.

Sifatnya sebagai ikan pemangsa yang agresif menjadikan sebarau sebagai buruan kaki-kaki pancing yang ingin merasai pertarungan dengan spesies tersebut.

Dalam pada itu, Marzuadi menjelaskan, untuk memancing ikan sebarau mempunyai cabaran tersendiri.

Ikan ini jelasnya, selalunya berada di kawasan berarus deras dan pemancing harus tahu bagaimana cara untuk menjinakkannya.

“Cabaran utama yang kami hadapi adalah ikan jenis ini suka berada di kawasan arus deras serta di kawasan tunggul kayu di dalam air.

“Susah sebenarnya untuk menjinakkan ikan ini jika berhadapan dengan situasi sebegini. Tetapi, jika kita sering memancing dan tahu teknik yang betul ia akan menjadi mudah,” katanya.
Untuk menjinakkan ikan di situ Marzuadi menggunakan teknik casting.

Casting merupakan antara salah satu teknik dalam memancing.

 

KAWASAN hulu sungai yang berarus deras biasanya menjadi habitat spesies ikan pemangsa sebarau yang menjadi buruan kaki pancing tegar. – gambar hiasan

 

Melalui teknik ini, pemancing perlu melontar dan mengarau gewang atau umpan berulang kali bagi menghasilkan pergerakan.

Pergerakan itu akan menarik perhatian ikan untuk menyambar umpan yang dilekatkan pada joran.

Sebarau juga cukup agresif dan Marzuadi menegaskan, kadangkala tali joran boleh terputus ketika bertarung dengan ikan tersebut.

Ini kerana, habitat ikan tersebut yang suka mendiami kawasan berbatu dan tunggul kayu.

Apabila tali bergesel dengan batu ia berkemungkinan boleh terputus.

Sementara itu, Marzuadi menjelaskan, kebiasaannya umpan yang digunakan untuk memancing ikan
sebarau adalah ikan tiruan ataupun gewang sesudu.

“Tetapi sebenarnya ikan sebarau ini lebih gemar dan mudah tertarik dengan gewang sesudu.

“Ini kerana, ia dihasilkan oleh plat besi yang berkilau di dalam air. Jadi, ini akan menarik perhatian ikan untuk meragut gewang tersebut,” terangnya lagi.

Di kawasan tersebut, Marzuadi memilih untuk menggunakan gewang jenis selaman dalam.

Dia menggunakan gewang jenis itu kerana pemburuan ikan sebarau yang mereka lakukan adalah di kawasan jeram yang dalam.

Oleh itu, dia perlu menggunakan gewang selaman dalam bagi membolehkan umpan itu tenggelam ke bahagian dasar yang menjadi lubuk bagi spesies sebarau.

“Ikan sebarau mempunyai waktu tertentu keluar mencari makan. Kebiasaanya, ikan ini cukup galak pada awal pagi dan lewat petang.

“Pada waktu sedemikian, biasanya kami dapat membawa naik lebih banyak ikan ke darat,” jelas Marzuadi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI