fbpx

Guna sampan seludup Yamaha RXZ Siam rentas Sungai Golok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Joo Kai (dua dari kiri) memeriksa salah sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ yang dirampas pada sidang akhbar di Pejabat Penguat Kuasa JKDM Rantau Panjang, Rantau Panjang hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

RANTAU PANJANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya membongkar taktik penyeludup membawa masuk motosikal jenis Yamaha RXZ dari Thailand dengan menyeberangi Sungai Golok menggunakan sampan dalam dua serbuan berasingan di Bukit Bunga, Jeli dekat sini kira-kira dua minggu lalu.

Dalam serbuan pada 24 dan 26 September lalu itu, sebanyak 12 buah motosikal yang terdiri daripada empat buah Yamaha RXZ, Yamaha RX (5), Cryptonx buatan Thailand (1), Honda LC135 (1) dan Honda Wave (1) dirampas.

Pemangku Pengarah JKDM Kelantan, Koh Joo Kai berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya merampas sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ yang dipercayai diseludup menerusi pangkalan haram di Bukit Bunga.

Menurutnya, serbuan pukul 1 tengah hari itu dijalankan hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan oleh JKDM Kelantan.

“Susulan daripada rampasan itu, anggota penguat kuasa JKDM kemudiannya merampas 11 buah motosikal terpakai pelbagai jenama dari Thailand yang disembunyikan di sebuah stor di Bukit Bunga pada pukul 11 pagi keesokan harinya.

“Pemeriksaan mendapati, 11 buah motosikal termasuk tiga buah Yamaha RXZ berada di dalam stor tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Penguat Kuasa JKDM Rantau Panjang di sini hari ini.

Joo Kai memberitahu, siasatan awal mendapati, penyeludup membawa masuk motosikal tersebut dengan menggunakan sampan ketika menyeberangi Sungai Golok.

Katanya, JKDM Kelantan tidak menolak kemungkinan permintaan tinggi terhadap motosikal jenis Yamaha RXZ menyebabkan kegiatan penyeludupan motosikal tersebut banyak berlaku sejak kebelakangan ini.

Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM42,113.5 termasuk cukai dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI