fbpx

Rakyat Palestin perlu bebas daripada pendudukan haram Israel – Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. - AFP

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa Malaysia menyokong dan berpegang teguh dengan pendiriannya selama in bahawa rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Zahari Mohd. Ariffin dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan tanda sokongan dimana rakyat Palestin perlu diberi semula tanah mereka yang dirampas oleh Israel selain kebebasan membentuk sebuah negara merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa dukacita dan gusar dengan konflik terkini di bumi Palestin yang telah mengorbankan ratusan nyawa di kedua-dua pihak dan berpandangan bahawa masyarakat antarabangsa serta kuasa besar dunia wajib memikul tanggungjawab menghentikan pertempuran dengan serta merta bagi mengelakkan pertumpahan darah lebih teruk.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan kepada ketetapan Kerajaan Malaysia yang menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengambil tindakan segera untuk menggesa semua pihak menghentikan keganasan, sekali gus menghormati dan melindungi nyawa orang awam.

“Selain itu, Seri Paduka Baginda turut menyeru negara-negara Islam terutamanya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bersatu padu membantu menangani kesengsaraan dan masalah yang dihadapi oleh rakyat Palestin,” katanya.

Sementara itu, Zahari berkata, Yang di-Pertuan Agong turut bertitah, Malaysia sentiasa bersolidariti bersama Palestin dan menyeru seluruh rakyat supaya terus memperjuangkan prinsip keadilan, sikap hormat menghormati, di samping menentang sebarang bentuk keganasan serta kezaliman sesama manusia.

“Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat Malaysia tapa mengira bangsa dan agama untuk bersama Baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing agar pergolakan dan keganasan terbaharu itu dapat dihentikan,” jelasnya.

Berikutan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru masjid dan surau di negara ini serta rakyat yang beragama Islam mengadakan solat sunat hajat memohon ihsan daripada Allah S.W.T untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI