KUALA LUMPUR – Seorang bekas pemilik syarikat rekaan dalaman didakwa Mahkamah Sesyen di siniatas tiga pertuduhan memberikan dokumen menuntut insentif Program Penjana Kerjaya berjumlah RM9,500 yang mengandungi pernyataan palsu, dua tahun lalu.
Bagaimanapaun tertuduh S.Kamala Segaran, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai sebuah syarikat telah memberikan dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikat berkenaan bertarikh 25 Jun, 23 November dan 21 Disember 2021.
Ia bagi menuntut insentif masing-masing M4,340, RM2,260 dan RM2,900 di bawah program itu kepada dua Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Pejabat agensi itu dengan niat memperdayakan agensi yang mana lelaki itu mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut mengandungi pernyataan palsu mengenai nama pekerja baharu.
Sedangkan senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen tersebut bukan pekerjanya, di sebuah syarikat di Kampung Baru, di sini pada 25 Jun, 23 November dan 21 Disember 2021.
Justeru petuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa SPRM, Yasri Yahya mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam, R.Babu Naidu yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana dia telah diisytiharkan muflis sejak 2014.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin untuk semua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti yang dimohon pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 6 November ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE