KANGAR – Imam di 101 masjid di seluruh negeri ini disaran melaksanakan bacaan qunut nazilah susulan penentangan umat Islam Palestin terhadap Zionis yang menduduki wilayah mereka.
Mufti Perlis, Prof. Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Jabatan Mufti negeri mengesyorkan imam-imam terlibat supaya membaca doa qunut nazilah pada setiap kali solat fardhu lima waktu.
“Bacaan doa qunut nazilah itu dilaksanakan pada rakaat terakhir solat fardhu bermula waktu zuhur hari ini sehingga arahan memberhentikannya dikeluarkan.
“Dalam pekeliling yang dikeluarkan hari ini, turut disertakan panduan doa qunut nazilah. Ia menunjukkan Perlis sangat prihatin dalam perkembangan semasa mengenai perkara tersebut,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pihaknya akan menganjurkan satu forum mengenai Jihad Palestin di Masjid Alwi Kangar selepas solat isyak pada Khamis ini.
“Berkemungkinan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail akan berangkat ke majlis berkenaan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE