MUAR – Seorang remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) berdepan hukuman penjara 60 tahun dan sebatan apabila didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan merogol dan amang seksual fizikal ke atas gadis bawah umur, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Zulfadli Ahmad, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, orang kena tuduh (OKT) yang juga OKU masalah pembelajaran didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.
Perbuatan itu dituduh dilakukan di belakang sebuah rumah di Jalan Temenggong Ahmad di sini pada pukul 1 pagi, awal September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, pekerja kedai makan itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah rumah di Parit Jawa pukul 10 malam, pertengahan September lalu.
Manakala bagi pertuduhan ketiga, remaja yatim piatu itu didakwa melakukan kesalahan sama di tempat yang sama pada pukul 11.15 malam, 29 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan masing-masing mengikut Seksyen 14(b) dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 14 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara 20 tahun dan sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Abu Bakar kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 untuk kesemua pertuduhan selain perlu melaporkan diri ke Balai Polis Muar setiap bulan serta tidak dibenarkan berhubung dan menganggu mangsa.
Mahkamah menetapkan 16 November depan sebagai tarikh sebutan semula serta serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE