fbpx

Tak sempat menyusup, 53 PATI diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara PATI yang ditahan polis di sebuah rumah teres di Olak Lempit, Banting

KUALA LANGAT – Hasrat 53 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup keluar dari negara ini tidak kesampaian selepas rumah teres yang dijadikan lokasi transit mereka di Olak Lempit, Banting di sini, diserbu pihak berkuasa baru-baru ini.

Kesemua mereka dikatakan akan dibawa keluar pada hari kejadian sebelum rumah tersebut diserbu kira-kira pukul 6.45 petang, Jumaat lalu. Turut ditahan adalah tiga tekong darat dengan kesemua mereka berusia 17 hingga 53 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd . Nor @ Saleh berkata, penangkapan mereka dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 susulan maklumat awam berkaitan penyeludupan migran.

Katanya, tinjauan dilakukan selama setengah jam dan mendapati sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan berdekatan kawasan perumahan itu.

“Sepasukan pegawai dan anggota polis bertindak menghampiri kenderaan tersebut dan telah menangkap tiga lelaki warga asing berada di dalam kenderaan itu.

“Soal siasat terhadap suspek kemudiannya membawa serbuan di rumah teres di lokasi berhampir sebelum menahan 53 warga asing termasuk lapan wanita yang gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kata beliau, siasatan lanjut mendapati tiga suspek yang ditahan awal merupakan tekong darat dengan dua daripadanya tidak mempunyai dokumen dan seorang lagi tinggal lebih masa.

Tambah Ahmad Ridhwan, selebih 53 PATI mengaku akan keluar secara haram dari negara ini pada hari serbuan yang dilakukan PGA.

“Reman selama 28 hari dikenakan kepada tiga tekong tersebut sementara kesemua PATI selama 14 hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 ,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI