KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta peserta skim pelaburan ‘Xfox Mix Biz’ tampil ke balai polis berdekatan selepas pihaknya menerima satu laporan berhubung sindiket penipuan pelaburan itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, laporan tersebut dibuat seorang pengadu mengatakan nama serta logo syarikatnya digunakan untuk mempromosikan skim tersebut.
“Mangsa menafikan pengetahuan mahupun penglibatan syarikatnya dengan skim pelaburan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi langkah membendung kegiatan sindiket penipuan, Ramli menggesa individu yang menyertai skim pelaburan itu segera tampil ke balai polis lberdekatan untuk membantu siasatan.
“Masyarakat turut diingatkan agar tidak terpedaya dengan promosi pelaburan yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan dalam masa singkat.
“Semakan terperinci dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan perlu dilakukan sebelum mengambil keputusan menyertai skim tertentu,” ujar beliau.
Kata Ramli, nasihat serta maklumat lanjut boleh diperoleh melalui National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997, Portal Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum membuat keputusan menyertai skim pelaburan yang meragukan. – KOSMO! ONLINE