fbpx

Siswa UTM harumkan nama negara di Taiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pelajar UTM mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih lima anugerah dalam IDEERS 2023 yang berlangsung di NCREE, Taipei, Taiwan baru-baru ini melibatkan peserta dari pelbagai negara.

UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi mengharumkan nama Malaysia dalam pertandingan Introducing and Demonstrating Earthquake Engineering Research in Schools (IDEERS) 2023 apabila meraih keseluruhan lima anugerah.

Pertandingan itu diadakan selama tiga hari bermula 21 hingga 23 September lalu bertempat di Taiwan National Center for Research on Earthquake Engineering (NCREE), Taipei, Taiwan.

Program berprestij tinggi itu diadakan setiap tahun sejak 2007 hasil anjuran bersama NCREE dan Makmal Penyelidikan Gunaan Negara (NARLabs).

Menurut salah seorang peserta, Saidatul Assyura Rosman, pertandingan tersebut bertujuan mendidik pelajar sekolah dan universiti mengenai impak gempa bumi ke atas struktur serta cara mengurangkan kerosakan apabila bencana itu berlaku.

“Setiap pasukan diperuntukkan masa selama 5 jam 30 minit untuk membina struktur model bangunan menggunakan bahan disediakan.

“Setelah itu, model-model ini akan disimulasikan menggunakan meja getar untuk diuji dengan pelbagai peringkat getaran gempa bumi dwiarah bermula 400 gelen sehingga 1,000 gelen,” katanya.

Selain Malaysia, negara seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Korea Selatan turut mengambil bahagian dalam acara tersebut dengan jumlah peserta lebih daripada 200 pelajar.

“Dua kumpulan dari UTM telah dihantar untuk bertanding dalam kedua-dua kategori pascasiswazah dan sarjana muda yang diselia oleh pensyarah Ts. Dr. Mohd. Zamri Ramli.

“Pasukan pascasiswazah terdiri daripada saya sendiri dan tiga lagi rakan sekuliah iaitu Muhammad Farhan Mohd. Fisol, Lim Kim Chuan dan Kah Hong Lee.

“Alhamdulillah, pasukan kami berjaya meraih pencapaian membanggakan apabila meraih empat daripada lima kategori dipertandingkan,” ujarnya.

SAIDATUL ASSYURA (kiri) bersama rakan-rakan yang menyertai pertandingan IDEERS 2023.

Saidatul Assyura merupakan pelajar tahun kedua Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Awam di UTM, Skudai, Johor.

Katanya, kategori yang berjaya dibolot termasuk Anugerah Seni Bina Terbaik, Anugerah Pembentangan Terbaik, Idea Reka Bentuk Terbaik untuk Anugerah Pameran, selain menduduki tempat kedua secara keseluruhan dalam kategori pascasiswazah.

Bagi pasukan sarjana muda, para peserta pula terdiri daripada Sabrina Sita Sureshar, Aida Suzana Zulkurnian dan Angel Tah.

“Pujian harus diberikan kepada mereka kerana mengatasi kemungkinan dengan menghasilkan model struktur yang sangat canggih untuk memperoleh Anugerah Seni Bina Terbaik.

“Hasilnya, kedua-dua pasukan memperoleh sejumlah lima anugerah daripada pertandingan berprestij itu,” katanya.

REKA bentuk bangunan skala kecil yang dihasilkan oleh pelajar UTM.

Berkongsi cabaran yang dilalui, Saidatul Assyura mengakui, bukan mudah untuk pasukannya memenangi kategori yang dipertandingkan, lebih-lebih lagi setiap negara menghantar wakil hebat dan pernah menyertai pelbagai pertandingan serupa.

“Perkara yang sukar bagi kami dalam pertandingan ini adalah untuk memikirkan jenis sistem pengasingan yang berfungsi dengan baik, tetapi menggunakan kos rendah.

“Ini kerana, pada awalnya kami berkongsi wang untuk membeli barang bersama.

“Jadi, kami memilih gabungan antara ‘sliding bearing’ dan ‘shock absorber’ daripada kereta mainan untuk berfungsi sebagai sistem pengasingan dalam reka bentuk bangunan skala kecil.

“Hasil daripada beberapa percubaan menggunakan meja getar mini yang dibantu oleh penyelia, kami dapat menghasilkan sistem yang cukup baik untuk dipertandingkan.

“Pun begitu, apa yang saya boleh katakan, kerjasama antara ahli kumpulan merupakan tonggak kepada kejayaan kami.

“Selain kerjasama dan kreativiti, idea setiap ahli kumpulan juga perlu dititikberatkan serta digabung sebelum keputusan diambil secara bersama,” katanya.

Ujarnya, pencapaian cemerlang kedua-dua pasukan telah membuktikan bahawa Malaysia turut mempunyai kepakaran dalam bidang gempa bumi, walaupun negara tidak terkesan dengan bencana itu.

Dalam pada itu, Saidatul Assyura berharap lebih ramai siswa akan menyertai pertandingan sedemikian rupa pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI