DOHA – Max Verstappen mengukir sejarah hebat dalam perlumbaan Formula Satu (F1) apabila melakar gelaran dunia ketiga berturut-turut pada saingan berprestij dunia itu pada Grand Prix (GP) Qatar di Doha awal pagi semalam.
Pemandu pasukan Red Bull itu yang menjadi juara pada 2021 dan 2022 berjaya mempertahankan gelaran itu sejurus menamatkan perlumbaan Sprint di tangga kedua biarpun Oscar Piastri menjuarai perlumbaan tersebut kelmarin.
Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner menyifatkan bahawa Verstappen sebagai pemandu paling kompetitif pernah disaksikannya sepanjang berada dalam perlumbaan F1.
“Sudah tentu kami menghargai apa yang telah dilakukan Verstappen. Dia (Verstappen) begitu dominan tahun ini dan memberikan persembahan terbaik. Saya amat berbangga dengan apa yang dilakukannya sepanjang tahun ini.
“Saya tahu bakatnya sewaktu dalam go-kart lagi dan saya rasa kami membuat keputusan tepat pada awal kariernya. Saya sangat gembira dengan bagaimana dia melakukannya dan betapa kuatnya dia meneruskan perjuangannya untuk mencapai ke tahap ini.
“Setakat ini dia pemandu paling dominan dalam F1. Saya fikir anda perlu mengambil masa sedikit untuk melihat semula apa yang Verstappen capai. Bagi saya dia sangat luar biasa.
“Keazaman, semangat, komitmen dan bakat yang dia ada membawanya kepada kemenangan dan kejayaan luar biasa ini,” kata Horner.
Dalam pada itu, Verstappen menyifatkan gelaran kejuaraan dunia ketiga berturut-turut yang dicapai padai GP Qatar adalah saat paling dibanggakannya dan terbaik.
“Ini adalah yang terbaik. Saya rasa yang pertama adalah paling emosional apabila impian dipenuhi, tetapi ini pastinya tahun terbaik saya untuk kemenangan berturut-turut. Jadi, bagi saya, inilah yang paling saya banggakan kerana konsisten,” katanya.– AGENSI