fbpx

Jual buluh 50 sen, beli beras RM50

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anglah terpaksa menunggang motosikal sejauh 100 kilometer ke bandar Gua Musang untuk membeli beras.

GUA MUSANG – Ma­syarakat Orang Asli di kawasan pedalaman di daerah ini perlu berulang-alik hampir 100 kilometer (km) bagi membeli bekalan beras yang le­bih murah di kawasan bandar.

Penduduk Orang Asli berdepan masalah apabila beras di kampung mereka dijual pada harga tinggi iaitu melebihi RM50 bagi untuk sekampit beras 10 ki­logram (kg) ketika ini.

Seorang penduduk Orang Asli Kampung Kelaik, Pos Blau, Ang­lah Angah, 41, berkata, mereka tidak tahan dengan harga yang tinggi ditetapkan peruncit sehingga terpaksa keluar ke bandar mendapatkan bekalan asas itu.

Katanya, selain bekalan beras, barangan kawalan lain juga dijual lebih mahal berbanding di bandar Gua Musang.

“Di kampung saya, sekampit beras 10 kg dijual sehingga RM50 lebih, manakala beras 5 kg pula melebihi RM20. Selain itu, sepeket gula dijual pada harga RM5.

“Saya mempunyai lapan ahli keluarga dan sekampit beras 10 kg hanya mampu bertahan untuk seminggu. Hari ini (kelmarin), saya tempuh perjalanan hampir 100 kilometer dengan menunggang motosikal ke bandar Gua Musang untuk membeli dua kampit beras yang berharga RM39 setiap satu,” katanya.

Ujar Ramli Along, 45, penduduk Orang Asli yang keba­nyakannya bekerja kampung dan mencari hasil hutan tertekan dengan harga barangan yang semakin meningkat akhir-akhir ini.

“Kebanyakan Orang Asli di kampung ini menjual buluh di Blue Valley, Cameron Highlands, Pahang pada harga 50 sen sebatang. Harga buluh semakin murah, tetapi harga beras dan makanan lain naik.

“Kami memang terhimpit dengan keadaan ketika ini. Penduduk hanya bergantung kepada makanan asas terutamanya beras kerana ubi kayu sudah tiada kerana kawasan kebun sekarang sudah menjadi ladang durian musang king,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bersama Gerakan Pengguna Daerah Gua Musang, Zamzani Harun berkata, pihaknya mene­rima ­aduan penduduk Orang Asli yang rata-ratanya dari kawasan pedalaman dan telah memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI