MANCHESTER – Pasukan Manchester United mempamerkan kemenangan dramatik untuk menewaskan Brentford 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Old Trafford sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad The Red Devils kendalian Erik Ten Hag membariskan kesebelasan terbaik dengan pemain bintang seperti Marcus Rashford, Bruno Fernandes dan Mason Mount mengetuai jentera serangan.
Namun, pasukan tuan rumah dilihat terkejut apabila The Bees berjaya mendahului hasil daripada ledakan Mathian Jensen selepas menerima hantaran Yoane Wissa pada minit ke-26.
Bersambung pada babak kedua, Ten Hag membuat rombakan dengan memasukkan pemain gantian seperti Christian Eriksen, Anthony Martial dan Scott McTominay dalam usaha memburu gol penyamaan.
Penantian United akhirnya hadir apabila McTominay menjaringkan gol pertama pada minit ke-3 masa kecederaan hasil sepakan yang mengelirukan penjagan gol lawan di kotak penalti.
Momentum tersebut digunakan sekali lagi oleh McTominay untuk meledak jaringan kemenangan sebelum wisel penamat ditiupkan selepas menyudahkan hantaran Harry Maguire sekali gus muncul wira United.
Keputusan itu menyaksikan United kini meraih 12 mata selepas mengharungi lapan perlawanan EPL musim ini.
Sementara itu, di Stadium Turf Moor, Chelsea turut mengutip tiga mata selepas membelasah Burnley 4-1 untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan liga.
Gol-gol The Blues dijaringkan oleh Cole Palmer, Raheem Sterling dan Nicolas Jackson dengan satu lagi jaringan dilakukan pertahanan lawan, Ameen Al Dakhil. – KOSMO! ONLINE