fbpx

Speedy Tigers perlu ‘tutup buku’ Sukan Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARUL mengambil tanggungjawab terhadap prestasi semasa pasukannya yang menamatkan Sukan Asia Hangzhou di kedudukan keenam. - MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, A. Arul Selvaraj mengambil sepenuhnya tanggungjawab terhadap situasi anak-anak buahnya menamatkan Sukan Asia Hangzhou di tangga keenam.

Sudahlah gagal ke separuh akhir yang melenyapkan impian meraih pingat emas tetapi pencapaian kali ini dianggap antara terburuk dalam sejarah penyertaan Sukan Asia sejak 1958 menyamai edisi 2006 di Doha, Qatar

“Sangat kecewa dengan persembahan kita. Kekecewaan dan kesalahan ini, saya sebagai ketua jurulatih ambil tanggungjawab sepenuhnya. Kita tak boleh salahkan sesiapa kecuali diri sendiri,” kata Arul.

Speedy Tigers gagal ke separuh akhir selepas menamatkan aksi kumpulan di tangga ketiga, di belakang China dan Korea Selatan sekali gus kempunan untuk menyambar tiket automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai juara benua Asia.

BARISAN pemain dan kejurulatihan skuad hoki lelaki negara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) daripada Sukan Asia Hangzhou semalam. – MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Malang berterusan pada aksi terakhir apabila Malaysia tewas 2-5 kepada Pakistan dalam penentuan tempat kelima dan keenam di Stadium Gongshu Canal kelmarin.

Kini, barisan pemain tiada pilihan selain perlu menyambar tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 melalui aksi Kelayakan Olimpik yang akan diadakan di Muscat, Oman atau Valencia, Sepanyol pada Januari tahun depan.

Bekas Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Profesor Datuk Dr. S. Shamala menggesa barisan pemain agar ‘menutup buku’ Sukan Asia Hangzhou dengan memberikan fokus terbaik kepada Kelayakan Olimpik.

“Daripada kita duduk termenung lebih baik kita pandang ke hadapan, setiap hari amat penting kerana tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Jangan jadikan episod ini yang bukannya salah sesiapa sebagai satu benda besar.

“Kita kehilangan sesuatu dalam usaha kita mencapai sesuatu yang lebih besar. Saya sangat yakin pasukan ini memang bertahap Olimpik. Jadi tutup buku dan pandang ke hadapan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI