LANGKAWI – Pasangan suami isteri dari Australia mengungguli kejohanan Ironman 70.3 Asia Pasifik bagi kategori atlet profesional yang berlangsung di sini hari ini.
Pelepasan 19 atlet profesional lelaki dan sembilan atlet profesional wanita dilakukan di Pantai Kok pada pukul 7.05 pagi bagi memulakan displin berenang sejauh 1.9 kilometer (km) sebelum meneruskan displin berbasikal sejauh 90km dan larian sejauh 21.1km.
Josh Amberger, berjaya menamatkan tiga disiplin, berenang sejauh 1.9 kilometer (km), berbasikal (90km) dan larian (21.1km) dengan masa tiga jam, 50 minit dan 47 saat.
“Saya gembira dapat menamatkan perlumbaan yang mempunyai laluan yang sangat mencabar dan ini merupakan gelaran Asia Pasifik kedua saya selepas memenangi gelaran sama pada tahun 2017,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menamatkan ketiga-tiga disiplin di Jalan Pantai Chenang, di sini, hari ini.
Sementara itu, kategori wanita profesional, Ashleigh Gentle, yang juga isteri kepada Amberger dan pertama kali menjejakkan kaki ke negara ini mengambil masa selama empat jam, 10 minit dan 17 saat bagi menghabiskan semua disiplin.
Tempat kedua lelaki profesional dimenangi Mike Phillips (Australia) dengan catatan masa selama tiga jam, 52 minit, dan 23 saat, dan tempat ketiga disandang oleh Kurt McDonald (Australia) dengan masa tiga jam 54 minit dan 33 saat.
Bagi kategori profesional wanita, tempat kedua disandang oleh Amelia Watkinson (Australia), dengan masa selama empat jam, 16 minit dan 5 saat dan tempat ketiga dimenangi Lottie Lucas dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan catatan masa selama empat jam 16 minit, dan 5 saat. – KOSMO! ONLINE