BALING – Penduduk kampung bimbang pembinaan beting pasir di hadapan rumah mereka akan mengundang risiko lebih besar kepada banjir.
Mohd. Ridy Ahmad, 49, berkata, rumah ibu saudaranya, Che Mah Wahab, 70, dan enam buah rumah lagi di Kampung Padang Empang akan mengalami masalah besar jika beting pasir selebar 12 kaki dibina di depan rumah mereka.
“Difahamkan, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor telah mengeluarkan arahan kepada Pejabat Daerah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk buat beting pasir selebar 12 kaki di sepanjang aliran sungai yang rendah terutamanya di kawasan rumah mangsa yang berisiko terkena banjir.
“Jika diikutkan tanah rezab JPS yang terkini, ia tidak melangkaui rumah mangsa banjir, apabila dibuat beting pasir ini, laluan air sungai di belakang rumah pula yang akan masuk melalui belakang rumah kami,” katanya di sini baru-baru ini.
Ujarnya, laluan sungai sudah berubah, ia tidak masuk melalui sungai di hadapan rumah ini tetapi masuk melalui laluan sungai di belakang rumah.
Katanya, aliran sungai di sebelah belakang telah berubah daripada kedudukan asalnya menjadi ‘zigzag’, menyebabkan aliran sungai yang banyak akan masuk ke kawasan penempatan penduduk kerana tebingnya rendah dan tersekat laluan.
“Di depan rumah pula akan dibuat beting pasir yang tingginya lebih kurang separuh daripada rumah penduduk, maka ia akan menghalang air banjir yang masuk dari arah belakang rumah untuk menuju ke Sungai Kupang di hadapan rumah.
“Jadi, apabila hujan lebat dan berlakunya banjir lagi, maka rumah-rumah penduduk di sini akan berada dalam limpahan air kerana airnya terkepung.
“Penduduk marah kerana pihak bertanggungjawab langsung tidak turun padang ke lokasi banjir sebenar untuk mengambil maklumat yang tepat,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE