fbpx

Harga gula dunia cecah paras tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki memunggah guni gula dari trak di pasar La Paz, Bolivia pada 27 Oktober 2022. - AFP

ROM, Itali – Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) memaklumkan bahawa harga gula dunia melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 13 tahun pada September lalu, namun indeks makanan global secara keseluruhan stabil.

Laman berita Wion News melaporkan, penurunan indeks untuk komoditi utama lain seperti minyak sayuran, produk tenusu dan daging mengimbangi lonjakan harga gula serta jagung global.

Menurut agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tersebut, indeks harga yang menjejaki komoditi makanan paling banyak didagangkan secara global termasuk gula, mencatat purata 121.5 mata pada September 2023 berbanding 121.6 mata Ogos lalu.

Harga makanan secara keseluruhan pada September 2023 turun 10.7 peratus dari tahun ke tahun dan 24 peratus di bawah paras tertinggi sepanjang masa yang dicatatkan pada Mac 2022 selepas Russia menceroboh Ukraine.

Indeks bijirin pula meningkat 1.0 peratus berbanding Ogos 2023 dengan harga jagung meningkat 7 peratus. Kenaikan itu dikaitkan dengan permintaan kukuh untuk bekalan Brazil dan jualan lebih perlahan di Argentina serta peningkatan kadar sewa tongkang di Amerika Syarikat (AS).

Selain itu, harga gandum global turun 1.6 peratus berikutan bekalan kukuh dan prospek pengeluaran lebih baik oleh Russia. Harga beras pula melonjak hampir 10 peratus pada Ogos lalu dan hanya susut 0.5 peratus pada bulan berikutnya.

FAO turut mencatatkan penurunan harga produk tenusu sebanyak 2.3 peratus sekali gus menandakan kejatuhan bulanan kali kesembilan berturut-turut dan dikaitkan dengan permintaan import global yang rendah dan bekalan mencukupi.

Unjuran FAO mengenai pengeluaran bijirin pada tahun ini ialah pada 2.819 bilion tan metrik berbanding anggaran sebelumnya sebanyak 2.815 bilion tan. 

Anggaran itu keseluruhannya didorong oleh jangkaan pengeluaran lebih tinggi oleh Russia dan Ukraine berikutan keadaan cuaca yang menggalakkan.

Walaupun harga makanan di seluruh dunia stabil, FAO menyatakan bahawa Indeks Harga Gula melonjak sebanyak 9.8 peratus pada September lalu berbanding Ogos sekali gus merekodkan paras tertinggi sejak November 2010.

Lonjakan harga itu dikaitkan dengan fenomena El Nino yang menjejaskan pengeluaran di India dan Thailand. Corak iklim itu ditandakan dengan pemanasan suhu permukaan laut dan peristiwa cuaca melampau.

Kenaikan Indeks Harga Gula untuk dua bulan berturut-turut menimbulkan kebimbangan mengenai prospek bekalan gula global yang lebih ketat pada musim akan datang.

“Ini mencerminkan ramalan awal yang menunjukkan penurunan kadar pengeluaran oleh pengeluar gula utama, Thailand dan India, disebabkan keadaan cuaca  lebih kering daripada biasa yang dikaitkan dengan peristiwa El Nino semasa.

“Harga minyak mentah antarabangsa yang lebih tinggi juga menyumbang kepada kenaikan harga gula dunia,” kata FAO. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI