BAITULMUQADDIS – Tentera Israel menyatakan bahawa pihaknya masih bertempur dengan pejuang Gaza yang memasuki Israel melalui laluan darat, laut dan udara dengan menggunakan paraglider hari ini, selepas beribu-ribu roket di tembak ke Israel dari Semenanjung Gaza.
“Pencerobohan yang berlaku adalah kombinasi darat, laut dan udara menggunakan paraglider.
“Ketika ini kami sedang bertempur. Kami bertempur di beberapa lokasi di sekitar Semenanjung Gaza dan Israel,” kata jurucakap tentera, Richard Hecht kepada pemberita.
Hecht mengesahkan terdapat kematian dan kecederaan tetapi enggan mengulas lanjut. Dia juga tidak mahu mengulas laporan bahawa berbilang warga Israel telah ditangkap oleh pejuang Palestin.
Dalam perkembangan berkaitan, beribu-ribu askar simpanan akan dikerah ke Gaza di samping utara Israel, berdekatan sempadan Lebanon dan Syria serta wilayah Tebing Barat.
Sekurang-kurangnya 2,200 roket dibedil dari Gaza menjelang pukul 10.30 pagi (waktu tempatan), kata Hecht, manakala Hamas menyatakan bedilan tersebut melibatkan lebih 5,000 roket.
Israel melaksanakan kepungan ke atas Gaza pada 2007 selepas Hamas menguasai wilayah itu. – AFP