KUALA LUMPUR – Aktor dan pengarah Pekin Ibrahim mendedahkan pertama kali berdepan kes gangguan seksual di set penggambaran adalah sekitar lima tahun lalu.
Katanya, insiden yang berlaku di lokasi penggambaran filem Cerana Biduk Bu Merah tersebut benar-benar mencetuskan kemarahannya sehingga naik darah dan hilang sabar lalu bertindak membelasah pelaku perbuatan tidak beretika terbabit.
Kata Pekin, tindakan jijik seorang krew produksi mengintai aktres baharu dalam kejadian tersebut dirasakan lebih menakutkan berbanding kisah seram yang dibintanginya.
“Waktu itu sekitar tahun 2018 ketika saya dan pembantu peribadi dalam perjalanan ke set penggambaran, tetapi kami patah balik ke inap desa selepas aktres muda itu mengadu diintip seseorang.
“Apa yang membuatkan saya lagi hilang sabar apabila individu tersebut turut membuat rakaman video serta cuba memadam bukti apabila kami bersemuka dengannya.
“Itu kali pertama saya belasah orang. Tak sangka sepanjang terbabit dalam arena seni sejak 2002, saya berhadapan kes seumpama itu,” katanya selepas pratonton filem Cerana Biduk Bu Merah, malam tadi.
Pekin atau nama sebenarnya, Mohd Iznan Ibrahim, 41, turut rasa kesal apabila pekerja produksi sendiri melakukan perbuatan terkutuk dengan mengambil kesempatan ketika masing-masing mencari rezeki.
“Sudahlah melakukan perkara tidak bermoral, dia sempat ‘menunggang agama’ dengan berpura-pura mengajak saya solat ketika saya tiba di tempat kejadian.
“Kes itu pun dah lama berlalu dan telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. Saya cuma harap jadi pengajaran kepada semua,” katanya lagi.
Sementara itu, mengenai filem terbitan Goldhill Pictures yang bakal ditayangkan pada 12 Oktober ini, Pekin memaklumkan naskhah arahan Haizul Anafer Ali sebagai genre seram sarat elemen unik.
Biarpun babak bagi wataknya, Imran tidak banyak, kekuatan alur kisah selain bekerja semula dengan sutradara kedua ketika mula terjun ke arena seni dianggap sangat istimewa.
“Haizul adalah sutradara kedua panggil saya berlakon drama selepas Silver Chung yang membuatkan saya terus terima pelawaan untuk beraksi dalam filem pertamanya,” kata aktor berusia 41 tahun itu.
Selain Pekin, Cerana Biduk Bu Merah turut dibintangi Fasha Sandha, Wan Hanafi Su, Badrul Muhayat, Pyan Kepoh dan Sara Daewon. – KOSMO! ONLINE