fbpx

Jambatan Bagan Datuk dimahsyurkan sebagai Jambatan Sultan Nazrin Shah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan, merasmikan Majlis memasyhurkan Jambatan Bagan Datuk sebagai Jambatan Sultan Nazrin Shah pada majlis perasmian di Bagan Datuk, hari ini. Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

BAGAN DATUK – Jambatan yang menghubungkan daerah Bagan Datuk ke Sejagop di daerah Perak Tengah dimashyurkan sebagai Jambatan Sultan Nazrin Shah.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan merasmikan jambatan tersebut seterusnya menamakan jambatan itu sempena nama baginda, di sini hari ini.

Baginda turut berkenan berada di atas jambatan bagi menyaksikan demonstrasi penyelamatan di air dan lintas hormat di Sungai Perak oleh 140 anggota pelbagai agensi, sempena majlis perasmian tersebut.

Turut berkenan hadir pada majlis perasmian itu ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Jambatan sepanjang 1.54 kilometer (km) yang pembinaannya dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan itu mula dibuka pada 31 Mei lalu.

Projek menelan belanja RM460 juta itu turut membabitkan pembinaan jalan sejauh 10.5 km menggunakan kaedah ‘elevated piled slab (EPS)’ atau papak bertingkat atas cerucuk.

Dianggarkan kira-kira 70,300 penduduk sekitar termasuk pelajar institusi pendidikan berdekatan iaitu Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datuk dan Politeknik Bagan Datu mendapat manfaat daripada pembinaan jambatan itu.

Ahmad Zahid ketika berucap pada majlis itu menjelaskan jambatan tersebut menjadi ikon dan kebanggaan di daerah Bagan Datuk kerana mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records pada tahun ini.

Terangnya, pengiktirafan itu diberi sebagai laluan papak bertingkat atas cerucuk terpanjang dan bilangan titik cerucuk terbanyak bagi laluan papak bertingkat iaitu sebanyak 6,396 titik cerucuk.

Menurutnya, pembinaan jambatan itu membolehkanr akyat jelata dapat
menikmati jarak perjalanan yang lebih pendek iaitu pengurangan perjalanan sekitar 50 kilometer dengan penjimatan masa sebanyak lebih satu jam.

Beliau menerangkan, ia sekarang hanya mengambil masa kurang dari 15 minit sahaja bagi penduduk Bagan Datuk untuk ke daerah Perak Tengah, dengan adanya jambatan tersebut.

“Pastinya, pahit getir penantian rakyat jelata selama lebih enam tahun selepas majlis pecah tanah pada 2017, menantikan kerja-kerja pembinaan jambatan ini membuahkan hasil dan memberi manfaat kepada penduduk setempat apabila telah dibuka secara rasmi mulai 31 Mei 2023 yang lalu.

“Terbinanya jambatan ini merentasi Sungai Perak dijangka akan menarik lebih ramai orang mengunjungi daerah Bagan Datuk serta memberi limpahan ekonomi dan sosial kepada sekalian rakyat di Bagan
Datuk,” ujarnya.

Beliau turut memohon Kementerian Kerja Raya untuk menambah lampu jalan di sepanjang laluan papak bertingkat itu berikutan ramai penduduk mengadu laluan tersebut sangat gelap pada waktu malam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI