fbpx

PRK Pelangai: Warga emas terpaksa diusung dengan kerusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Generasi Pertama Felda Chemomoi, Jalil Harun diusung menggunakan kerusi oleh petugas dan anggota Rela selepas mengundi di Pusat Mengundi SMK Felda Chemomoi pada PRK DUN Pelangai di Bentong hari ini.

BENTONG – “Pergi ambil makcik. Pergi ambil makcik. Jangan tinggal dia,” ujar Mohd. Shaari Mat Dom, 84 yang meminta petugas untuk membawa isterinya keluar dari Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi.

Dia diusung dengan kerusi oleh petugas dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ke kereta berikutan semua kerusi roda disediakan telah digunakan semua pengundi saluran satu.

Bimbang petugas yang memandu pergi meninggal isterinya, beberapa kali Shaari meminta supaya membawa isterinya Fauziah Solomon, 86 keluar untuk menaiki kereta yang sama dengannya.

“Mana boleh tinggal makcik. Kami datang sama-sama, balik kenalah sama-sama,” katanya.

Shaari yang merupakan generasi pertama Felda Chemomoi masih bersemangat untuk keluar mengundi walaupun keadaannya tidak sihat.

“Ini tanggungjawab, kenalah keluar mengundi. Pakcik mengundi bermula tahun 1964 masa umur 21 tahun, dan tak pernah ketinggalan untuk mengundi.

“Pakcik masuk Felda Chemomoi pada tahun 1971, dan sampai sekarang tetap keluar mengundi walaupun sakit macam mana pun,” katanya.

Sementara itu, seorang warga emas, Jalil Harun, 76 turut kelihatan keluar mengundi meskipun terpaksa menggunakan khidmat petugas untuk berada di pusat mengundi.

Dia yang terpaksa diusung menggunakan kerusi kerana kerusi roda telah digunakan pengundi lain berpuas hati dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia.

“Saya keluar untuk mengundi, ada petugas yang datang ambil di rumah, dan bawa balik. Lega sebab ada yang membantu. Kalau tak, susah saya nak keluar mengundi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI