KUALA LUMPUR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Graduan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2023, hari ini.
Istiadat perbarisan kali ini merupakan gabungan antara Pegawai Kadet dari Akademi Tentera Darat, Kapal DiRaja Sultan Idris Satu dan Akademi Tentera Udara yang terdiri daripada 325 orang pegawai.
Baginda bertitah, perbarisan gabungan pada pagi ini membuktikan bahawa ATM sentiasa komited dalam usaha untuk mendepani ancaman yang tidak menentu pada masa hadapan.
“ATM merupakan tonggak utama pertahanan negara dalam mempertahankan bumi Malaysia yang tercinta dan sebagai sebuah negara yang berdaulat.
“Sesungguhnya, profession ketenteraan adalah satu kerjaya yang mulia. Kerjaya ini memerlukan pengorbanan, komitmen dan disiplin yang tinggi serta kesungguhan individu untuk kekal bersedia bagi menghadapi sebarang bentuk ancaman,” titahnya.
Sultan Sallehuddin bertitah, pegawai tentera yang telah dilengkapi dengan ilmu ikhtisas dan kemahiran asas ketenteraan berkemampuan untuk melaksanakan tanggungjawab yang dijunjung dengan penuh amanah.
“Perkembangan teknologi terkini banyak mempengaruhi ATM dalam mendepani sebarang bentuk ancaman, sama ada ancaman tradisional, ancaman hibrid, mahupun ancaman di alam maya.
“Sebagai modal insan ATM di masa hadapan, saudara dan saudari adalah insan yang terpilih, berdasarkan latar belakang pendidikan, dan keperibadian pahlawan.
“Beta amat berharap agar, semua pegawai kadet meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing, sebagai seorang pegawai ATM yang kredibel, versatil dan disegani,” titahnya.
Dalam perbarisan tersebut, turut diadakan penyampaian Anugerah Pedang Kehormat berserta Piala kepada tiga orang Pegawai Kadet Graduan Terbaik bagi setiap perkhidmatan.
Dalam pada itu, Sultan Kedah turut berkenan untuk mengurniakan watikah tauliah kepada 221 orang Pegawai Kadet Graduan Tentera Darat Malaysia (TDM), 46 orang Pegawai Kadet Graduan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 58 orang Pegawai Kadet Graduan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Turut berangkat adalah Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin. – KOSMO! ONLINE