KUALA LUMPUR – Lebih 300 gelandangan dan golongan miskin tegar yang menetap di pusat bandar ,di sini, menerima bantuan makanan serta pakaian menerusi program anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama Street Glider Owners Malaysia.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, inisiatif tersebut dibuat di bawah Team Bonda PPIM bagi mewujudkan sebuah komuniti yang sihat.
Sehubungan itu, pihaknya berhasrat untuk mengadakan program seumpama demikian sebanyak sebulan sekali, dengan kerjasama daripada pihak kerajaan.
“Insya-Allah kita akan teruskan inisiatif ini dan kita akan tampilkan program-program yang memberi manfaat kepada golongan gelandangan seperti pekerjaan melalui Gabungan Sukarelawan Rakyat Malaysia (GRSM),” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Kosmo! pada Program Santuni Gelandangan dan Miskin Tegar PPIM di Pusat Khidmat Pelanggan Gelandangan Medan Tuanku, di sini hari ini.
Program tersebut yang berlangsung bermula pukul 8 malam tadi merupakan hasil kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Gardenia, Restoran Ali Maju, Nordin Bundle, Richiamo, The KL Garage, Cafe Al-Hambra dan Satria Risk Mitigation.
Sementara itu, seorang gelandangan yang dikenali sebagai Jiha, berkata, dia bersyukur atas bantuan yang diterima sekali gus membantu kelangsungan hidup keluarganya.
“Sangat gembira hari ini sebab sudah lama tiada program seperti ini dibuat di sini selepas (Pengasas Pertiwi Soup Kitchen, Datuk Munirah Abdul Hamid) meninggal dunia.
“Saya harap, selepas ini, ada lagi program macam ini dianjurkan. Sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kami,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE