KUALA SELANGOR – Harga padi yang berbeza mengikut setiap kawasan membuatkan lebih 800 pesawah negeri ini kesal dan tawar hati terhadap penanaman pertanian tersebut.
Harganya juga boleh menjunam dengan perbezaan lebih RM400 dalam tempoh sehari sehingga menjejaskan pendapatan petani pada musim menuai terutama kepada pesawah Kampung Sempadan di sini.
Wakil pesawah, Zainuddin Sudar, 50, berkata, sebelum ini mereka dijanjikan harga RM1,700 per tan, namun hanya memperoleh RM1,680 pada hari pertama menuai Isnin lalu.
Katanya, situasi ini benar mengejutkan pesawah sehingga ramai mengeluh seperti berputus asa terhadap penanaman padi ini.
“Harganya terus jatuh pada hari kedua menjadi RM1,280 dan Kampung Sawah Sempadan selalu menjadi mangsa, dianaktirikan apabila sering mendapat harga paling rendah.
“Lebih sedih, apabila kami mendapat tahu di Sungai Burong, Sekinchan dan Sungai Besar jumlahnya akan naik lebih tinggi,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Terdahulu, kira-kira 70 pesawah membuat bantahan aman di pusat belian padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Jalan Tali Air 3, di sini berhubung pengurangan padi dihadapi mereka.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum ini memaklumkan pesawah masih mendapat harga jualan padi pada RM1,700 walaupun kerajaan salurkan subsidi RM500 per tan melalui Skim Subsidi Harga Padi.
Zainuddin tidak menolak kemungkinan para pesawah meninggalkan penanaman itu dan beralih kepada pertanian kontan yang banyak dilakukan pesawah di kawasan Barat Laut negeri ini.
Bagi seorang lagi pesawah, Fariuzzani Mohd. Toif, 39, isu tersebut jelas menekan kehidupan mereka yang terpaksa menanggung kos terutama berdepan cabaran hidup ketika ini.
“Kenapa perlu dibezakan harga sedangkan beras dihasilkan sama seperti tempat lain di negeri ini. Harap ada tindakan sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, pesawah muda lain, Aizat Zubir, 34, menjelaskan situasi ini hanya membuatkan golongan muda tidak tertarik dalam industri pertanian khususnya padi.
Sebelum ini beberapa petani dari Sungai Petani, Kedah merungut mengenai belian padi yang rendah.