PETALING JAYA – Pengumuman Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) menghentikan operasi Astro GS Shop Sdn Bhd (AGSS) yang mengendalikan perniagaan beli-belah di rumah di bawah jenama ‘Go Shop’ bermula 11 Oktober ini terbukti memberi kesan kepada ramai pengguna.
Seorang pekerja Astro Go Shop menerusi satu hantaran di TikTok @lilydianaloly, memaklumkan dia tidak menyangka bakal melalui situasi sebegini dan perlu mencari rezeki di tempat lain.
“Percaturan Allah itu tak pernah salah kan. Bukan tak menerima tapi terkejut. Didn’t expect the notice will be this short (tak sangka notis akan jadi begitu pendek).
“Terbaca macam-macam komen negatif daripada netizen dan ada yang menyakitkan. Lets just pray for each other (Mari berdoa untuk satu sama lain),” katanya.
Meskipun menerima pelbagai kecaman, namun masih ada yang menghargai kewujudan Go Shop apabila dianggap telah berjasa menggembirakan hati ramai pihak.
Di ruangan komen TikTok wanita itu, ramai yang berkongsikan momen terindah ketika mereka membeli barangan di Go Shop.
“Teringat mak telefon aku waktu Subuh, macam kecemasan sangat. Rupanya suruh beli barang kat Go Shop. Sekarang mak dah tak ada, Go Shop pun dah tak ada. Terima kasih kerana bahagiakan mak saya,” kata @emaksiparipari.
“Astro Go Shop banyak gembirakan arwah atok saya. Dia ‘bed ridden’ memang seharian hobi tengok Go Shop,” kongsi @mydearplanner.
“Sedihnya, mak abah suka beli barang Go Shop. Dari pinggan mangkuk sampai ke kerusi urut. Katil tilam apa bagai. Mereka tak pandai beli ‘online’,” kata @the.ness.
“Arwah mak rajin beli melalui Go Shop. Kadang-kadang tersenyum teringat gelagat mak bila barang sampai depan pintu. Rindu mak,” luah @niktravel.
Terdahulu, Astro dalam satu kenyataan berkata, langkah menghentikan operasi itu telah diputuskan bersama rakan usaha sama dari Korea, GS Retail Co Ltd (GSR) berikutan landskap ekonomi keseluruhan yang mencabar dan perubahan dalam tingkah laku membeli-belah pengguna. – KOSMO! ONLINE