fbpx

89,474 kes demam denggi, 65 kematian direkod hingga September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebanyak 89,474 kes demam denggi direkodkan sejak Januari hingga 30 September lalu dengan peningkatan 105.5 peratus berbanding 43,544 kes bagi tempoh sama, tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kes kematian berikutan demam denggi juga meningkat, iaitu 65 kematian dilaporkan berbanding 26 kematian dalam tempoh sama pada tahun lalu.

“Bagi minggu 24 hingga 30 September lalu iaitu pada Minggu Epidemiologi ke-39, jumlah kes demam denggi adalah sebanyak 2,299 kes berbanding 2,310 kes pada minggu sebelumnya.

“Penurunan sebanyak 11 kes iaitu 0.5 peratus, namun terdapat tiga kematian akibat komplikasi demam denggi,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada minggu adalah sebanyak 60 lokaliti berbanding 61 lokaliti pada minggu sebelumnya.

“60 lokaliti itu melibatkan 46 lokaliti di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (sembilan), Pulau Pinang (dua) manakala Perak, Kelantan dan Sarawak masing-masing satu,” ujarnya.

Muhammad Radzi berkata, bagi survelan chikungunya, sebanyak enam kes direkodkan pada minggu lalu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 175 kes sehingga kini.

Bagi survelan zika beliau berkata, sebanyak 2,535 sampel darah dan 241 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Dalam pada itu, ekoran beberapa kawasan di negara ini mengalami banjir, Muhammad Radzi berkata, orang ramai diminta melakukan aktiviti cari dan musnah bekas-bekas kerana plastik, tin-tin minuman dan bekas makanan polisterin serta sampah sarap yang dibawa air banjir dikhuatiri boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI