fbpx

PRK DUN Pelangai lancar – SPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL GHANI (dua dari kanan) melawat petugas SPR melakukan persiapan peti undi untuk hari pengundian esok, sempena PRK DUN Pelangai di Bentong.

BENTONG – Perjalanan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai berjalan lancar tanpa sebarang kesalahan dan insiden yang tidak diingini berlaku.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, sehingga kini tiada aduan rasmi diterima termasuk berhubung dakwaan penyalahgunaan jentera dan aset kerajaan pada PRK DUN Pelangai.

Katanya, mana-mana pihak yang mendakwa wujud salahguna aset kerajaan perlu membuat aduan rasmi kepada SPR dengan segera.

“Setakat ini diperingkat kita Alhamdulillah tiada aduan tidak sepatutnya berhubung kempen, kita pun tidak terima laporan berhubung salah guna aset kerajaan.

“Selagi tiada aduan, kita dapati kempen berjalan lancar, maknanya kempen dua minggu PRK Pelangai adalah berjalan lancar,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan PRK DUN Pelangai, di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, di sini hari ini.

Baru-baru ini Perikatan Nasional (PN) menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau parti politik yang menyalahgunakan jentera dan aset kerajaan pada PRK DUN Pelangai.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, SPR juga perlu memantau pengumuman dan pemberian insentif kepada kerajaan sama ada oleh kerajaan negeri mahupun Kerajaan Persekutuan kepada rakyat sepanjang kempen berlangsung.

Dalam pada itu, Abdul Ghani menyasarkan peratusan keluar mengundi dalam PRK DUN Pelangai boleh mencapai sehingga 75 peratus ke atas, berbanding 78 peratus sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, keputusan rasmi PRK Pelangai dijangka diumumkan seawal pukul 9 malam setelah pengiraan dibuat membabitkan sembilan pusat pengundi dan 30 saluran.

Beliau juga berharap pengundi keluar mengikut masa ditetapkan dan diingatkan membawa kad pengenalan sebelum ke tempat mengundi.

“Kita menyeru semua pengundi dapat keluar mengundi supaya dapat semarak semangat demokrasi,” katanya.

Seramai 16,456 pengundi layak menjalankan tanggungjawab dalam PRK DUN Pelangai pada esok bagi memilih seorang wakil rakyat yang baharu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI