KOTA BHARU – Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr. Izani Husin memberi bayangan bahawa negeri itu berkemungkinan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Perkara itu dinyatakan oleh Izani menerusi kemas kini status di laman Facebook peribadinya kira-kira sejam lalu.
“Kalu kito buat PKPB seluruh Kelantan lagu mano? Setuju ko? (Kalau kita laksanakan PKPB seluruh Kelantan macam mana? Setuju ke?),” katanya Izani.
Sehingga berita ini ditulis, kemas kini status Izani itu mendapat kira-kira 800 komen, 1,700 tanda suka dan lebih 300 perkongsian.
Secara rumusan, rata-rata pengguna Facebook meninggalkan komen menyokong agar PKPB dilaksanakan di Kelantan dalam usaha untuk membendung wabak itu selepas 17 kes baharu dicatatkan hari ini.
Bagaimanapun, ramai juga yang berpendapat bahawa tiada keperluan untuk melaksanakan PKPB di Kelantan kerana ia akan membantutkan ekonomi dan pergerakan masyarakat di negeri ini.
Berdasarkan rekod, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPB di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan bermula 9 November hingga 6 Disember depan. – K! ONLINE+