PETALING JAYA – Seorang pemilik kereta meluahkan rasa kecewa apabila kereta yang diletakkan di hadapan rumah telah dilanggar lari oleh individu tidak dikenali tanpa sebarang permohonan maaf.
Menurut perkongsian di akaun TikTok oleh individu bernama Azlizan Hamizi, insiden itu turut menyebabkan dia perlu ke balai polis bagi membuat laporan.
“Parking depan rumah pun kena langgar. Yang langgar tolonglah ambil tanggungjawab.
“Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) ada, tidak pasal-pasal kena pergi balai polis buat laporan,” ujar Azlizan.
Bukan itu sahaja, Azlizan turut mempertahankan diri dengan berkata semua penduduk di sekitar kawasan perumahan itu meletakkan kenderaan di luar rumah.
Dalam pada itu, rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan pemilik kenderaan kerana parkir di rezab jalan.
“Mengapa pemilik kereta tidak memilih untuk meletakkan kenderaan mereka di garaj?” tanya bungamawar.
“Buat laporan polis, baru kita boleh tentukan siapa yang bertanggungjawab dan siapa yang perlu disaman,” jelas seorang lagi yang menggunakan nama ballzer.
“Letak kereta di dalam garaj adalah pilihan yang lebih selamat daripada ambil risiko parkir di luar,” tambah Aiman Aizuddin.-KOSMO! ONLINE