fbpx

Op Mardof Perak babit tangkapan di laut, darat bernilai lebih RM1.6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Op MARDOF Perak yang dilaksanakan sejak 30 September lalu hingga semalam membabitkan tangkapan bernilai lebih RM1.6 juta.

LUMUT – Op Mardof Negeri Perak yang dilaksanakan di perairan negeri ini oleh beberapa agensi penguat kuasa pada 30 September lalu hingga semalam berjaya menghasilkan tangkapan di laut dan darat bernilai lebih RM1.6 juta.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd. Hambali Ya’akup berkata, operasi itu telah dilaksanakan oleh pihaknya dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Perak dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Lumut.

“Sebanyak 16 tangkapan warga Myanmar dan Indonesia berumur lingkungan 12 hingga 49 tahun serta 16 keroncong mata pukat tunda dengan nilai anggaran RM48,000 telah dirampas sempena Op Mardof Negeri Perak.

“Sebanyak 59 pemeriksaan telah dijalankan di darat dan di laut serta turut berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan (BNT) di kawasan sektor operasi perairan negeri Perak dengan nilai keseluruhan tangkapan di darat dan di laut berjumlah lebih RM1.6 juta.

“Kesemua kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Hambali berkata, selain operasi di laut dan pemeriksaan di jeti, OP Mardof Negeri Perak kali ini telah ditambah baik dengan pelaksanaan sesi taklimat operasi dan Akta Perikanan 1985 kepada anggota APMM dan DOF serta sesi libat urus iaitu Kempen Kesedaran Keselamatan di Laut (Preventive SAR) kepada komuniti maritim.

Beliau berkata, Op Mardof Negeri Perak dilihat sebagai salah satu inisiatif kerjasama strategik antara APMM bersama DOF dalam memperkasakan kemahiran teknikal penguatkuasaan, perkongsian maklumat dan kepakaran pengendalian siasatan terutamanya berkaitan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

“Kerjasama ini merupakan inisiatif kedua-dua agensi dalam membangunkan keupayaan sumber manusia sejajar dengan tuntutan semasa terutamanya dalam menangani isu-isu melibatkan Akta Perikanan 1985 bagi membanteras aktiviti kesalahan bot tunda Zon A yang sedang berleluasa di perairan Perak.

“Secara keseluruhannya, Op Mardof Negeri Perak telah berjaya dilaksanakan sepenuhnya hasil kerjasama erat dengan agensi berkaitan dalam usaha mencapai misi dan objektif yang sama serta best practice applicable demi kelangsungan sekuriti sumber hasil laut dan kesejahteraan perairan negara,” katanya.

Mohd. Hambali berkata, berdasarkan kepada kejayaan daripada operasi kali ini, APMM dan DOF komited untuk terus melaksanakan operasi seumpama ini bagi memastikan kelestarian sumber perikanan negara dan keselamatan dalam sektor perikanan sentiasa terpelihara.

“Kedua-dua agensi turut menggesa kepada pihak yang terlibat dalam industri perikanan untuk mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan demi kebaikan bersama dan masa depan industri perikanan Malaysia.

“Sekiranya terdapat sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh terus menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk tindakan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI