KENINGAU – Seorang lagi kanak-kanak hilang selepas terjatuh di Sungai Pegalan, berhampiran Kampung Lingkudau ditemui lemas petang semalam.
Mangsa Arlina Jabar, 9, ditemui 13.55 kilometer (km) dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh kira-kira pukul 6.15 petang.
Kakak Arlina iaitu Azila, 12, yang turut hilang ketika cuba menyelamatkan adiknya itu ditemui lemas pada Selasa lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Sharudy Delamin berkata, mangsa ditemui oleh orang awam pada jarak 13.55 km dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
“Pasukan bomba segera ke lokasi kejadian untuk mengambil mangsa sebelum menyerahkan mangsa kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 5 petang Isnin lalu, Azila dan adiknya Arlina dipercayai bermain berhampiran tebing sungai berkenaan sebelum Arlina dikatakan terjatuh ke dalam sungai.
Kakaknya kemudian terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan Arlina, namun kedua-duanya dilaporkan tenggelam.-KOSMO! ONLINE