MANILA – Harga tinggi makanan di Filipina mendorong inflasi melonjak pada tahap tertinggi dalam tempoh lima bulan, kata beberapa pegawai hari ini sekali gus meningkatkan tekanan kepada kerajaan untuk membantu golongan paling memerlukan supaya mereka tidak berlapar.
Subsidi pertanian dan setem makanan untuk rakyat miskin merupakan antara usaha kerajaan menangani peningkatan harga yang menghakis populariti Presiden Ferdinand Marcos Jr.
“Kerajaan komited memberikan bantuan tersasar kepada kumpuan rakyat yang terjejas sementara harga makanan masih tinggi,” kata Setiausaha Perancangan Ekonomi, Arsenio Balisacan dalam satu kenyataan.
Kadar inflasi kini mencecah 6.1 peratus, meningkat daripada 5.3 peratus sebulan sebelumnya.
Pada bulan lalu, Marcos melaksanakan harga siling untuk beras yang menjadi makanan ruji di Filipina untuk membantu isi rumah miskin.
Beliau bagaimanapun memansuhkan kawalan harga komoditi itu semalam selepas musim menuai meredakan tekanan terhadap bekalan.
Balisacan pula memetik program setem makanan yang dilancarkan bulan lalu dan yang pertama seumpamanya di Filipina. Program itu menyediakan bantuan kewangan 3,000 peso (RM250) sebulan kepada isi rumah terpilih, keluarga wanita mengandung dan ibu yang menyusukan anaknya.
Beliau berkata, kerajaan akan turut memberikan wang tunai 10,000 peso (RM833) kepada 78,000 petani di samping subsidi berasingan sebanyak 5,000 peso (RM416) kepada penanam padi dan subsidi bahan api untuk lebih 74,000 kenderaan utiliti awam.
Ketua ekonomi Rizal Commercial Banking Corp, Michael Ricafort berkata, peningkatan inflasi tersebut mempunyai kaitan khusus dengan harga beras, tanaman yang musnah akibat taufan pada awal tahun ini dan kelemahan nilai mata wang peso yang menyebabkan harga import melonjak.
Beras merupakan makanan ruji di Filipina yang memiliki 110 juta penduduk tetapi Manila tidak dapat menghasilkan beras mencukupi, manakala ia juga merupakan antara pengimport utama bijirin itu. – AFP