LONDON – Ejen pemain tengah Chelsea, Jorginho percaya dia perlu membuat keputusan untuk menyertai kelab yang akan dibimbing bekas bosnya, Maurizio Sarri selepas ini.
Jorginho sebelum ini bersama Sarri di Napoli untuk tempoh tiga tahun sebelum menyertai Chelsea selepas pengurus itu dilantik mengemudi The Blues.
Gandingan kedua-dua mereka sebelum ini pernah menjadikan Napoli sebagai antara kuasa besar bola sepak Itali sebelum membantu Chelsea menjuarai Liga Europa pada musim 2018/2019.
Sarri yang kemudiannya memilih untuk menyertai Juventus pada Jun 2019 menyaksikan tugasnya diambil alih oleh Frank Lampard.
Ejen Jorginho, Joao Santos mengakui bahawa biarpun pemain itu kini berada dalam perancangan Lampard dan tonggak penting Chelsea ketika ini, dia mempunyai perancangan untuk kembali bersatu bersama Sarri selepas ini.
“Dia sangat gembira berada di Chelsea bersama Lampard dan mampu memberikan yang terbaik berbanding musim lalu.
“Sebahagian besar pemain kebangsaan Itali berada di Serie A tetapi dia memilih untuk menukar arah ke London. Jika Sarri pengurus di Juventus, dia mungkin akan menyertai pasukan itu.
“Jorginho memiliki hubungan yang sangat kuat dengan Sarri. Kita akan lihat nanti, jika Sarri menyertai kelab besar di Itali, Jorginho akan memilih untuk bersamanya sekali lagi,” katanya. – AGENSI