MARANG – Kehidupan wanita kerdil, Syakila Norazma Amira Zuharsema, 29, yang mempunyai ketinggian cuma 118 sentimeter semakin lengkap apabila bergelar ibu kepada cahaya mata yang kini berusia setahun lapan bulan
Syakila Norazma Amira yang mesra dipanggil Yaya itu berkata, dia sangat bahagia bersama anaknya, Muhammad Ayden Adrian Muhammad Azri dan suami, Muhammad Azri Zaidi, 21.
“Saya tidak lagi bekerja sebagai pembantu kedai makan sejak berpindah ke rumah sendiri di Taman Tapai Indah, Wakaf Tapai, di sini sebaik selesai berpantang pada April tahun lalu.
“Kebanyakan kehidupan seharian saya dihabiskan dengan mengasuh anak (Muhammad Ayden Adrian),” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Yaya yang berniaga dalam talian secara sambilan bersyukur anak lelakinya membesar dengan sihat dan normal, biarpun baru berusia 20 bulan, ketinggian sudah melebihi paras pinggangnya.
“Ayden sudah pandai berjalan dan agak lasak. Sekali imbas, saya dan dia bagaikan kakak dan adik apabila berjalan bersama.
“Begitupun, saiz badan saya yang kecil menjadi kekangan untuk melayan kerenahnya terutama apabila diminta meriba dan mendukungnya,” katanya.
Yaya mengakui mudah merasa sakit pada bahagian pinggang dan abdomen jika mendukung dan meriba anaknya terlalu lama.
“Suami yang bekerja kilang di Ajil, Hulu Terengganu banyak membantu menjaga anak. Doktor juga saran agar tidak hamil lagi dalam masa terdekat atas faktor kesihatan dan keselamatan saya.
“Namun, kami sepakat tidak akan menolak jika Allah kurniakan rezeki (anak) lagi,” katanya.
Mereka diijab kabul pada 18 Mac 2021 dan dikurniakan Muhammad Ayden Adrian yang lahir secara pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada 25 Januari 2022. -KOSMO! ONLINE