KUALA TERENGGANU – Seorang penganggur mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan merompak seorang wanita di sebuah dobi layan diri di Seberang Takir, Kuala Nerus pada Sabtu lalu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Muhammad Faiz Radzali, 25, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.
Mahkamah kemudian menetapkan Selasa depan sebagai tarikh jatuh hukum.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Faiz didakwa cuba melakukan rompakan serta mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 31 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah kedai dobi layan diri di Seberang Takir, Kuala Nerus pada pukul 3 petang, 30 September lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Kosmo! Online 30 September lalu melaporkan seorang wanita tiba-tiba ditikam dengan gunting pada bahagian belakang badannya oleh suspek di sebuah dobi layan diri.
Suspek yang didapati positif dadah berjaya ditahan polis di Mengabang Telipot, Kuala Nerus pada pukul 3.30 petang, Ahad lalu. – KOSMO! ONLINE