PETALING JAYA – Buang angin atau kentut merupakan satu tanda badan seseorang itu sihat, namun jika terlalu kerap mungkin disebabkan usus yang ‘sakit’.
Menerusi perkongsian seorang jurulatih diet pemakanan @coachmomoi di TikTok baru-baru ini, beliau memberitahu usus yang tidak sihat boleh berlaku apabila seseorang itu mengalami masalah pencernaan.
“Pengambilan makanan yang berangin dan pedas juga boleh menjadi penyebab kekerapan kentut menjadi tinggi.
“Sebagai contoh, makanan berkarbohidrat seperti ubi keledek boleh menyebab pengeluaran gas yang tinggi,” katanya.
Beliau turut mengatakan perubahan pada pola makanan juga menyebabkan seseorang akan sering kentut.
“Sebagai contoh, anda ada menambah satu makanan dalam pola makanan yang sudah sedia ada. Bagaimanapun, gejala ini akan berkurangan apabila badan sudah beradaptasi dengan pola makanan yang baharu,” jelasnya.
Tambahnya, laktosa intoleransi turut menjadi punca kekerapan kentut.
“Orang yang mempunyai laktosa intoleransi ini kebiasaannya mempunyai masalah untuk memproses protein di dalam badan,” katanya.
Ulasnya lagi, kotoran yang terkumpul pada usus besar dan terfermentasi akibat sembelit juga menjadi punca sering kentut.
“Kentut kebiasaannya hanya berlaku sesekali, namun jika ia kerap, mungkin itu menandakan ada masalah yang lebih serius,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE