KOTA BHARU – Seorang penjawat awam mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan kes mencuri lembu dan ingkar terhadap arahan polis sehingga berlaku kemalangan di Machang pada minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Balian Sidek, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amal Razim Alias.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencuri lembu milik Abdul Manaf Arifin, 52, di lorong depan sebuah rumah di Kampung Joh Labok, Machang dekat sini kira-kira pukul 5.30 pagi pada 25 September lalu.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Balian didakwa mengingkari suatu perintah yang diisytiharkan oleh seorang anggota polis yang meminta tertuduh menyerah diri.
Bagaimanapun, tertuduh bertindak melarikan diri dengan kereta sehingga menyebabkan berlakunya pelanggaran di Jalan Labok, Machang pada waktu dan tarikh sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Nursyafiqah menawarkan jaminan kepada tertuduh sebanyak RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan yang dihadapinya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu selain menetapkan Ahad ini untuk prosiding jatuh hukum dan fakta kes.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, tindakan ganas pencuri lembu yang cuba menyerang polis sebelum melarikan sebuah kereta peronda polis (MPV) mengundang padah apabila dia mati selepas terkena beberapa das tembakan dalam kejadian di Tok Bok, Machang. – KOSMO! ONLINE